LIMBANG: Menjelang perlaksanaan caj Perintaj Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk melalui sempadan Negara Brunei pada Ogos depan telah menimbulkan reaksi negatif pelbagai pihak.
Ramai yang telah membuat pengiraan untuk perbelanjaan harian khususnya mereka yang bekerja berulang alik antara Daerah Limbang dan Lawas.
Manakala, golongan peniaga pula terus mencongkak kadar nilai harga barangan yang dilihat turut terkesan dengan caj ini untuk pengangkutan.
Bagi penjawat awam yang berulang alik bekerja dari Limbang mahupun Lawas terpaksa mengeluarkan kira-kira RM800 sebulan untuk membayar caj Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk bermula 1 Ogos depan.
Menurut Shamsul Khairee yang berulang alik dari Limbang ke Lawas, walaupun akur dengan peraturan Kerajaan Brunei, bagi bayaran sebanyak BND3.00 (satu hala) dan BND6.00 (ulang alik, penjawat awam di bahagian ini berharap Kerajaan Sarawak dapat membantu mengurangkan beban mereka serta penduduk di sini.
Jelasnya, mereka perlu membayar lebih daripada RM800 sekiranya membawa isteri, anak-anak dan ahli keluarga jika pulang ke Lawas pada waktu cuti hujung minggu mahupun jika berdepan kes kecemasan.
Penduduk di Limbang yang akan ke Lawas terpaksa melalui dua pos Imigresen Brunei iaitu Pos Kawalan Imigresen Ujung Jalan Temburong dan Pos Imigresen Sementara Labu Temburong.
Melalui dua pos ini, penduduk Limbang mahupun Lawas terpaksa membelanjakan sekitar RM40 sehari untuk tujuan ulang alik bekerja setiap hari.
Shamsul memberitahu, setakat petang semalam pihaknya sudah berjaya mengumpul hampir 60 penjawat awam yang berulang alik ke Limbang mahupun Lawas setiap hari untuk pertimbangan pihak kerajaan agar diberi pengecualian atas urusan kerja.
Sementara itu, Penghulu Chua Beng Soon yang juga seorang peniaga di Daerah Limbang berkata, penduduk Limbang tidak mempunyai pilihan dan akur dengan keputusan yang dibuat negara jiran Brunei.
Namun, caj ini bakal memberi kesan kepada ekonomi setempat khususnya kenaikan kos pengangkutan barangan keperluan dan kos perkhidmatan lainnya.
Ini kerana kebanyakkan barangan keperluan di Limbang dibawa melalui pengangkutan darat dari Miri dan Sabah.
Setakat ini, masih ada barangan keperluan yang sukar untuk dibawa ke pasaran Limbang berikutan peraturan permohonan permit dan berbagai sekatan lain daripada pihak negara jiran.
Chua berharap agar penduduk di Daerah Limbang dan Lawas diberi permit atau pas khas untuk perjalanan transit melalui Brunei bagi laluan antara Daerah Limbang dan Lawas.
Pada masa sama, keperluan untuk menyegerakan jalan raya tanpa melalui Brunei semakin dilihat sebagai sesuatu yang penting dan menjadi keutamaan rakyat.
Oleh Adeng Idrus