MENGISI masa lapang di rumah panjang dengan menghasilkan seni anyaman tikar plastik adalah salah satu perkara yang amat bermakna bagi Kiau Kundang, 64.
Ternyata hasil tangan ibu kepada tiga orang anak itu cukup kemas, halus, teliti dan sangat kreatif.
Kiau memiliki bakat semula jadi, justeru beliau tidak mempersiakannya untuk menganyam pelbagai tikar plastik bermotifkan nilai tradisi Sarawak yang sesuai untuk majlis keramaian dan hiasan dalam rumah yang lebih menawan.
Selain tikar plastik, beliau mahir menganyam tikar mengkuang, tikar bemban dan sebagainya. Bagaimanapun, bahan untuk menghasilkan tikar tersebut diperolehi daripada hutan berhampiran.
“Saya mempelajari seni anyaman ini daripada mendiang mak mertua pada suatu ketika dahulu. Dia mengajar saya pelbagai jenis anyaman yang berkonsepkan seni tradisional masyarakat Iban.
“Sejak itu, minat saya terhadap seni anyaman ini semakin bertambah. Asal sahaja ada masa lapang ataupun semasa tidak turun ke kebun lada, saya akan menggunakan masa lapang itu untuk menganyam.
Berjinak-jinak dalam bidang anyaman sejak usia muda, masa lapangnya banyak dihabiskan dengan menganyam tikar plastik di kediamanya Rumah Giman Jabu, Skim B Meradong.
“Tikar plastik ini dihasilkan sepenuhnya dengan menggunakan tangan. Selain reka bentuk yang unik, ia dihasilkan dengan penuh ketelitian dan cukup halus buatannya,” jelasnya.
Beliau berkata, tempoh menyiapkan tikar plastik berkenaan bergantung kepada saiz, selain rekaan coraknya yang bermotifkan kepelbagaian etnik dan subetnik di Sarawak.
“Perlukan kesabaran dan minat untuk menghasilkan kraftangan ini. Proses pembuatannya agak rumit kerana membabitkan seni anyaman,” ujarnya.
Katanya, secara majoriti wanita di rumah panjang mereka bersama-sama mengisi masa lapang menganyam tikar plastik di ruai masing-masing.
“Kami membeli sendiri bahan untuk menganyam tikar plastik. Lagi pun harganya murah dan lebih banyak warna pilihan. Coraknya pula terpulang pada kreativiti sendiri,” ujarnya lagi.
Beliau juga tidak kedekut berkongsi ilmu menganyam dengan golongan wanita di rumah panjang mereka.
“Keadaan ini memberikan semangat untuk mereka meluangkan masa menganyam tikar plastik. Keadaan tersebut telah menjadikan keadaan meriah di bahagian ruai pada waktu malam,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, menganyam tikar plastik kini menjadi pilihan golongan wanita di rumah panjang mereka berikutan bahannya yang mudah diperolehi, berbanding tikar mengkuang, rotan dan sebagainya.
Kiau turut mengakui, menganyam tikar plastik mampu menjana pendapatan jika ia diusahakan dengan bersungguh-sungguh.
“Tikar plastik ini sentiasa mendapat sambutan yang hangat di pasaran. Ramai orang ingin membeli tikar plastik ini untuk kegunaan dan hiasan dalam rumah.
“Ada juga mereka yang membelinya untuk dijadikan sebagai cenderahati.
“Justeru ramai golongan wanita di rumah panjang kami memanfaatkan kemahiran untuk menganyam tikar plastik dan menjualnya kepada pembeli. Ia secara langsung dapat membantu meningkatkan pendapatan kami,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN