
KUCHING: Tiga rumah jenis separuh kekal di Jalan Kampung Tabuan Melayu, Tabuan Jaya di sini musnah dalam kebakaran petang tadi, namun api berjaya dikawal oleh pihak bomba.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 6.00 petang sebelum mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya ke lokasi kejadian. Operasi turut dibantu oleh BBP Padungan dan BBP Batu Lintang.
Komander Operasi, PBK II Syamsyul Mustapha melaporkan bahawa kebakaran melibatkan tiga rumah jenis separuh kekal.
Sebuah rumah berukuran 15×40 kaki, dua tingkat, terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi rumah berukuran 30×40 kaki turut musnah sepenuhnya.
Selain itu, rumah ketiga yang bersaiz 30×40 kaki mengalami kebakaran sebanyak 30 peratus.


“Tindakan pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran dengan empat nozel dari bahagian kiri dan kanan rumah yang terjejas.
“Sumber air diperoleh daripada pili bomba, selain menggunakan pam angkut bagi melakukan relay pumping untuk memastikan kelancaran operasi pemadaman,” katanya.

Beliau menambah pasukan bomba masih menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’ di lokasi bagi memastikan tiada punca kebakaran semula.
Oleh Amanda L.