PETRA JAYA: Tiga Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) menerima penempatan baharu dalam usaha memperkukuh kepimpinan, pengurusan serta penyampaian perkhidmatan pendidikan di peringkat daerah di Sarawak.
Pertukaran itu diumumkan menerusi Majlis Penyerahan Watikah Pertukaran Pegawai Pendidikan Daerah yang disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli, hari ini.
Mereka yang terlibat ialah Dr Majelan Sulong, yang sebelum ini merupakan Pegawai Pendidikan Daerah Kuching dan kini ditempatkan sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Lundu.
Turut menerima penempatan baharu ialah Sharifah Idawati Ahmad, yang sebelum ini merupakan Pegawai Pendidikan Daerah Padawan dan kini dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Kuching.
Sementara itu, Hasbi Ancheh, yang sebelum ini merupakan Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan, kini ditempatkan sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan.
Dalam amanatnya, Omar berkata pertukaran berkenaan merupakan sebahagian daripada pusingan kerja dalam perkhidmatan awam yang dilaksanakan selaras dengan keperluan pengurusan sumber manusia serta pembangunan kerjaya pegawai.
Menurut beliau, setiap pertukaran membawa amanah dan tanggungjawab baharu yang perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen, integriti dan profesionalisme.
“Di mana sahaja kita ditempatkan, amanah yang diberikan perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
“Laksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, komitmen dan kecemerlangan demi memastikan perkhidmatan pendidikan terus diperkasa,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa penempatan baharu perlu dilihat sebagai ruang untuk pegawai memperluas pengalaman, memperkukuh kepimpinan serta terus memberikan khidmat terbaik kepada warga pendidikan dan masyarakat.
Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak turut merakamkan penghargaan atas segala khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh ketiga-tiga pegawai sepanjang melaksanakan amanah di daerah terdahulu.
Penempatan baharu itu diharap dapat terus memperkukuh kepimpinan pendidikan, meningkatkan keberkesanan pengurusan serta memberikan impak positif terhadap pembangunan pendidikan di daerah masing-masing.
Oleh Adi Safarman





