
WASHINGTON: Tiga individu maut manakala lebih 12 orang penggerak balas pertama dimasukkan ke hospital selepas terdedah kepada bahan tidak dikenal pasti dalam insiden yang disyaki berkaitan dadah di negeri New Mexico, Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik pihak berkuasa semalam.
Penggerak balas pertama menemukan tiga mayat di dalam sebuah rumah di bandar Mountainair sebelum melaporkan simptom termasuk sakit kepala, pening dan muntah, kata datuk bandar Mountainair.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa bahan berkenaan dipercayai berbahaya dan berdasarkan penemuan awal, ia dilihat menyebabkan kemudaratan melalui sentuhan langsung dan bukannya penularan melalui udara.
Seorang lagi individu turut ditemukan di lokasi kejadian dan sedang menerima rawatan perubatan. Pakar bahan berbahaya sedang menyiasat insiden itu. – Bernama