
KUCHING: Polis menahan tiga lelaki tempatan dan merampas dadah disyaki ketamin bernilai kira kira RM3,100 dalam satu operasi di Taman Supreme malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek yang berusia antara 23 hingga 29 tahun ditahan kira-kira 10.45 malam pada 25 Jun oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.
Beliau berkata, polis turut merampas 15.50 gram dadah disyaki ketamin dalam operasi tersebut.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, manakala semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexson berkata, kesemua suspek direman selama empat hari bermula esok hingga 30 Jun bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta sebatan antara tiga hingga sembilan kali jika disabitkan kesalahan.
Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam.
“Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah. Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang undang,” katanya.
Alexson berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik kekal komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang, serta menggesa orang ramai menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di talian 0122087222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 0175929211.
Oleh Connie Chieng