Tiga kru selamat selepas kapal kargo karam di Sibu

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIBU: Tiga kru kapal kargo yang membawa muatan paip besi berjaya menyelamatkan diri apabila kapal dinaiki mereka karam di perairan Batang Rajang berhampiran Ulu Lanang, dekat Jambatan Lanang, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2.15 petang itu, juragan bersama dua anak kapal sempat terjun ke sungai sebelum berenang ke tebing selepas kapal berkenaan mula tenggelam.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin berkata, pihaknya belum menerima laporan rasmi berhubung kejadian itu, namun Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 mengesahkan insiden berkenaan.

“PPM Wilayah 5 mengesahkan berlaku insiden kapal karam dan semua kru dilaporkan selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut maklumat awal, kapal berkenaan bertolak dari Jeti Lanang kira-kira 2.00 petang menuju ke Kapit dengan membawa muatan paip besi.

Bagaimanapun, kira-kira 15 minit selepas memulakan pelayaran, kapal itu dilaporkan karam di perairan Ulu Lanang.

Siasatan awal mendapati kapal berkenaan dipercayai membawa muatan berlebihan, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Cubaan awal mengapungkan semula kapal menggunakan kapal tunda tidak berjaya berikutan keadaan air surut.

PPM Wilayah 5 kini memantau lokasi kejadian, manakala operasi mengapungkan semula kapal akan diteruskan ketika air pasang.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu sehingga siasatan selesai dijalankan.