SIBU: Hasil rondaan pemantauan kawasan banjir di tiga kampung, satu Skim Penempatan Semula Kuala Lama dan kawasan Jalan Mukah-Balingian, mendapati beberapa rumah telah dinaiki air.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Mukah, Kapt (PA) Zuriza Sharkawi berkata, semasa rondaan di Skim Penempatan Semula Kuala Lama dari 8.50 pagi hingga 9.50 pagi mendapati cuaca mendung, trend air adalah normal.
“Keadaan paras air di lokasi masih dalam keadaan terkawal dan jalan dapat dilalui kenderaan. Sepanjang pemantauan didapati sistem perparitan tidak diselenggara dan sekiranya hujan berterusan, kawasan tersebut berisiko untuk dinaiki air.
“Pemantauan di Jalan Mukah Balingian dari 9.51 pagi hingga 10.12 pagi, mendapati cuaca mendung dan trend air menurun. Keadaan air semasa pemantauan surut,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, pemantauan di tiga rumah penduduk mendapati di sekitar rumah pengadu, paras air telah melimpah di halaman rumah, ruang dapur dan ruang tamu pengadu.
“Paras air juga dalam keadaan menurun dan dikhuatiri meningkat sekiranya hujan berterusan boleh menyebabkan kawasan tersebut semakin teruk. Anggota telah menasihati pengadu agar sentiasa berwaspada dengan keadaan air,” katanya.
Beliau berkata, pemantauan di Kampung Tabo mendapati paras air 0.24 meter hingga 0.17 meter, keadaan paras air di lokasi masih dalam keadaan terkawal.
“Jalan dapat dilalui kenderaan serta mendapati rumah penduduk kampung tidak dimasuki air disebabkan reka bentuk rumah bertiang tinggi namun hanya halaman rumah yang terjejas,” katanya.
Katanya, pemantauan di Kampung Teh mendapati kiraan paras air 0.07 meter (kawasan rumah dan 0.12 meter (jalan raya utama) dan tren air adalah menurun.
“Masa pemantauan pada 11.12 pagi hingga 11.17 pagi, keadaan paras air di lokasi masih dalam keadaan terkawal dan jalan dapat dilalui kenderaan serta mendapati rumah penduduk kampung tidak dimasuki air disebabkan reka bentuk rumah yang bertiang tinggi namun hanya halaman rumah yang terjejas.
“Dan pemantauan di Kampung Penakub Ulu mendapati paras air 0.15 meter, tren air adalah menurun.
“Masa pemantauan 11.22 pagi hingga 11.27 pagi, keadaan paras air dilokasi masih dalam keadaan terkawal dan jalan dapat dilalui kenderaan,” kata beliau.
Menurutnya, sepanjang pemantauan mendapati terdapat beberapa rumah telah dinaiki air, anggota telah menasihati pengadu agar sentiasa berwaspada dengan keadaan air.
“Sekiranya berlaku kenaikan air secara mendadak pengadu dinasihati agar menghubungi pihak berwajib. Keadaan semasa di lokasi pemantauan adalah terkawal dan tiada sebarang insiden bencana dan kecemasan berlaku,” kata beliau.