SIMANGGANG: Sejumlah RM650,000 peruntukan telah diperuntukkan bagi membina dan menaik taraf tiga gelanggang futsal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang yang telah siap sepenuhnya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata ketiga-tiga peruntukan membina dan menaik taraf gelanggang futsal iaitu di Taman Harmoni (RM350,000), Kampung Muhibbah (RM200,000) dan RPR Fasa 2 Taman Sentosa Indah (RM100,000) adalah menggunakan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Beliau mengucapkan terima kasih kepada agensi pelaksana yang telah memantau perjalanan projek dan kebanyakkan projek yang dilawati telah siap mendahului jadual.
“Kita telah memainkan peranan masing-masing dalam menunaikan tanggung jawab sebagai ejen pembangunan bermula dari permohonan projek, agensi pelaksana membuat kertas kerja, wakil rakyat meluluskan, proses cabutan undi dan pembinaan sehingga selesai.
“Namun begitu dalam usaha menyiapkan kerja, para kontraktor bukan hanya memikirkan keuntungan semata-mata. Kualiti kerja juga perlu diambilkira dan patuh spesifikasi agar projek yang telah siap mencapai kepuasan hati pelanggan dan semua pihak yang terlibat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian semasa melakukan lawatan tiga lokasi pembinaan dan naik taraf gelangang futsal di sini hari ini.
Harden berkata dengan siapnya ketiga-tiga pembinaan dan baik taraf gelanggang futsal berkenaan, dapatlah ia digunakan oleh belia serta penduduk setempat di kawasan ini untuk penganjuran acara sukan seperti sukan futsal, sepak takraw, badminton dan sebagainya.
“Bukan setakat itu sahaja, gelanggang ini juga sesuai sebagai tempat mengadakan pelbagai aktiviti lain oleh kerana ia dilengkapi dengan bumbung sekali,” katanya.
Harden turut merakamkan terima kasih kepada kerajaan Sarawak terutamanya Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana telah meluluskan peruntukan bagi tujuan pembinaan gelanggang berbumbung itu.
Beliau turut berharap kemudahan yang disediakan kerajaan itu nanti dimanfaatkan sepenuhnya oleh segenap lapisan masyarakat, terutamanya golongan belia untuk bergiat lebih aktif dalam pelbagai program kesukanan selain mengelak mereka daripada melakukan perkara tidak berfaedah.
Oleh Adi Saparman