Tiga ekor ular daun bersembunyi di bilik berjaya ditangkap APM

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Marudi berjaya menangkap tiga ekor ular daun yang bersembunyi di siling bilik sebuah rumah di Jalan SK Sungai Brit, Marudi. Foto APM Marudi

MARUDI: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marudi bertindak pantas menangkap tiga ekor ular daun yang bersembunyi di bilik sebuah rumah No. 41, Jalan SK Sungai Brit, Rumah Singgan Bawin Muam, di sini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 11.45 pagi semalam yang memohon bantuan untuk menangkap ketiga-tiga reptilia berkenaan.

Menurutnya, sejurus menerima panggilan itu, anggota APM daripada Skuad Charlie bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 35 kilometer dari PKOD dengan kekuatan empat anggota yang diketuai oleh Prebet (PA) Beatrice Kalang.

“Setibanya di lokasi, anggota APM menemui pengadu, Julia Jai, yang kemudian menunjukkan tempat ular-ular tersebut bersembunyi di siling biliknya.

“Ketiga-tiga ular daun yang dianggarkan sepanjang 1.5 meter berjaya ditangkap menggunakan penyepit serta peralatan khas,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu selesai sepenuhnya dan anggota APM kembali ke PKOD pada 1.20 petang.