SARATOK: Tiga mangsa termasuk seorang kanak-kanak mengalami cedera ringan selepas kereta jenis Perodua Kancil yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dalam kemalangan yang berlaku di hadapan Pejabat IADA, di sini hari ini.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok menerima panggilan berhubung insiden tersebut pada jam 7:36 pagi.
“Kemalangan melibatkan dua kenderaan jenis Toyota Hilux serta Perodua Kancil telah bertembung dari arah hadapan.
“Anggota telah bertindak mengeluarkan tiga orang mangsa terperangkap di dalam kenderaan Perodua Kancil dengan menggunakan peralatan khas dalam jentera bomba,” katanya.
Operasi mengeluarkan kesemua mangsa telah selesai pada jam 7.55 pagi dan seterusnya kesemua mangsa telah diserahkan kepada ambulan KKM dan Unit EMRS untuk dihantar ke Hospital Saratok bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, pemandu Toyota Hilux berusia 56 tahun pula tidak mengalami kecederaan.
Dalam pada itu, BBP Saratok telah diperkuatkan seramai sembilan anggota yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I, Yusof Tamin.