
PASIR PUTEH: Mangsa yang terselamat dalam tragedi nahas bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada 9 Jun tahun lepas semakin pulih daripada trauma hasil sokongan berterusan pelbagai pihak.
Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni UPSI Abdul Wafiy Kamaruddin, 24, berkata kaunseling yang disediakan pihak universiti secara berterusan banyak membantu mangsa yang terlibat dalam tragedi berkenaan.
“Pada awalnya, apabila hendak menaiki kenderaan saya berasa takut, namun Alhamdulillah keadaan semakin pulih secara berperingkat dan sekarang saya tiada masalah menaiki bas atau kenderaan awam.
“Pihak kaunseling UPSI juga sentiasa membuat susulan terhadap kami yang terlibat dalam kemalangan itu dan bantuan tersebut banyak membantu proses pemulihan emosi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Tautan Kasih dan Ukhuwah UPSI Bersama Waris Insiden Gerik 2025 di Tok Bali di sini hari ini.
Abdul Wafiy berkata beliau yang hanya mengalami kecederaan ringan dan ditempatkan di Zon Hijau Hospital Gerik selepas kejadian masih mengingati detik-detik awal selepas kemalangan, termasuk melihat ramai mangsa bergelimpangan.
“Saya duduk di kerusi paling belakang sebelah kanan. Ketika sedar selepas kemalangan, saya melihat ramai yang cedera dan mahu membantu mereka, namun keadaan saya tidak mengizinkan. Saya hanya mampu membantu mangsa berhampiran. Bayangan kejadian itu menghantui saya selama dua hingga tiga bulan sebelum beransur pulih,” katanya.
Beliau berkata sokongan keluarga menjadi faktor utama yang menguatkan semangatnya untuk bangkit, selain bantuan rakan-rakan dan universiti dengan sebahagian besar mangsa terselamat juga menunjukkan perkembangan positif selepas menerima pelbagai sokongan.
“Setakat ini, 27 mangsa yang terselamat semakin stabil dan pulih dari segi emosi. Keadaan ini membuktikan pentingnya peranan keluarga, rakan-rakan dan institusi pendidikan dalam membantu mangsa meneruskan kehidupan selepas berdepan tragedi,” katanya.
Mengimbas kembali tragedi itu, Abdul Wafiy berkata 9 Jun 2025 akan kekal sebagai detik hitam dalam hidupnya apabila bas yang membawa pelajar UPSI terbalik dan mengorbankan 15 bakal pendidik.
Katanya sebelum kejadian suasana amat ceria kerana semua pelajar dalam perjalanan pulang ke kampus selepas Aidiladha.
“Pada malam itu kami bergelak ketawa dan bergembira bersama-sama. Namun dalam sekelip mata, tragedi itu meragut 15 nyawa dan mengubah kehidupan ramai daripada kami buat selama-lamanya,” katanya.
Selain meneruskan proses pemulihan diri, Abdul Wafiy turut berkongsi pengalaman dan pandangannya mengenai keselamatan jalan raya di pelbagai platform termasuk sebagai panel jemputan pada Kongres Keselamatan Jalan Raya pada November tahun lepas.
Pada awal pagi 9 Jun 2025, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terbalik selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna Perodua Alza. – Bernama