PETRA JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak boleh lagi memetik maklumat dari media sosial yang kesahihannya diragukan apabila berbahas di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)
Bagi tujuan itu, Perintah Tetap DUN Sarawak akan dipinda dengan satu usul yang akan dibentangkan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga DUN Sarawak ke-19 yang akan bermula pada Isnin ini.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, berkata pindaan itu diperlukan kerana Perintah Tetap yang ada kini tidak lagi relevan dan tidak memadai untuk menangani cabaran semasa.
Usul itu akan dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
“Pindaan ini bertujuan untuk memperkemas peraturan dalam persidangan DUN, terutamanya berkaitan dengan penggunaan maklumat yang diperoleh daripada laporan media sosial.
“Perintah Tetap sedia ada sudah ketinggalan zaman, jadi kita perlu meminda untuk memastikan sesiapa yang menggunakan sumber laporan media sosial dalam sesi perbahasan DUN mestilah mengesahkan kesahihan dan ketepatan maklumat tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pramesyuarat DUN yang dipengerusikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, di Jalan Bako di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pindaan Perintah Tetap ini penting untuk memberi definisi yang jelas mengenai media sosial, yang kini tidak mempunyai takrif yang tepat dalam dasar undang-undang.
“Kita mahu memastikan setiap kenyataan atau dakwaan yang dibuat berasaskan sumber media sosial adalah tepat dan sahih. Wakil rakyat tidak boleh membuat dakwaan berdasarkan sumber yang tidak disahkan,” katanya.
Selain itu, Asfia memaklumkan bahawa kali terakhir Perintah Tetap DUN Sarawak dipinda adalah pada 2011.
Untuk makluman, Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga DUN Sarawak ke-19 dijadualkan berlangsung selama lapan hari mulai Isnin ini hingga 20 November, akan menyaksikan pembentangan empat RUU Kerajaan.
Dalam pada itu, Asfia juga memaklumkan bahawa dua wakil rakyat telah memohon untuk tidak hadir pada mesyuarat kali ini kerana terikat dengan tugas rasmi.
Seorang wakil rakyat tidak dapat hadir sepanjang lapan hari mesyuarat, manakala seorang lagi hanya akan hadir selama lima hari disebabkan urusan rasmi kementerian di peringkat Persekutuan.
Nama kedua-dua wakil rakyat tersebut akan diumumkan pada hari pertama mesyuarat, sebagai tradisi DUN.
Oleh SHAHRUL QAIZAT