Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • TIC pertama di Sarawak pacu agenda negara AI 2030 – Gobind
  • SEMASA

TIC pertama di Sarawak pacu agenda negara AI 2030 – Gobind

Utusan Sarawak 4 hours ago
PREMIER Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (kanan) menerima cenderahati daripada Menteri Digital Gobind Singh Deo (tengah) pada majlis perasmian Kluster Perindustrian Peralihan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini. Foto Bernama

KUCHING: Sarawak menjadi lokasi pertama yang menempatkan Kluster Perindustrian Peralihan (TIC) di bawah inisiatif global Forum Ekonomi Dunia (WEF), sekali gus meletakkan negeri itu dalam kelompok 39 kluster perindustrian di seluruh dunia, yang menerajui transformasi industri dan peralihan tenaga.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata TIC yang dilancarkan di Bintulu itu, turut berfungsi sebagai platform dunia sebenar bagi Malaysia memajukan agenda Negara AI 2030 melalui pelaksanaan teknologi kecerdasan buatan (AI), kembar digital dan automasi dalam persekitaran industri.

“Hari ini, kita melancarkan bukan sekadar sebuah kluster. Kita melancarkan sebuah platform bagi inovasi, daya saing industri, kemampanan dan peluang.

“Kita juga memperlihatkan bagaimana aspirasi Malaysia dalam kecerdasan buatan, transformasi digital dan pembangunan industri dapat digabungkan untuk mewujudkan impak ekonomi yang nyata,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran TIC Bintulu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.

Gobind berkata kluster itu akan berfungsi sebagai platform untuk menterjemahkan keutamaan negara kepada hasil yang boleh diukur, dengan menggabungkan transformasi industri, peralihan tenaga dan inovasi digital, di samping mewujudkan peluang baharu bagi pelaburan, penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Beliau berkata masa depan industri akan ditentukan oleh pihak yang bersedia memimpin perubahan dan bukannya sekadar menyesuaikan dengan perubahan itu, dan Sarawak telah berada pada posisi barisan hadapan dalam peralihan industri dan tenaga.

“Sarawak telah memilih untuk meneraju. Malaysia telah memilih untuk meneraju. Bersama-sama, kita akan membina masa depan yang lebih berdaya saing, lebih mampan dan lebih makmur untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Pencapaian bersejarah itu mencerminkan aspirasi negara untuk memperkukuh daya saing ekonomi, mempercepat peralihan industri serta meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam industri masa depan.

TIC Bintulu ditubuhkan menerusi kerjasama yang melibatkan kerajaan Sarawak, Kementerian Digital, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Pusat Malaysia bagi Revolusi Perindustrian Keempat (MYCentre4IR) di bawah MyDIGITAL Corporation, WEF serta pihak berkepentingan industri.

Gobind turut mengumumkan penubuhan Komuniti Rangkaian Perisikan 4IR oleh MYCentre4IR, iaitu sebuah platform yang menghimpunkan pihak berkepentingan daripada kerajaan, industri, akademia dan ekosistem teknologi bagi memperkukuh kerjasama serta menyokong penerimaan teknologi baharu muncul.

“Platform itu akan menghimpunkan kerajaan, industri, akademia dan ekosistem teknologi untuk memperkukuh kerjasama serta menyokong penerimaan teknologi baharu muncul secara bertanggungjawab, termasuk AI, kembar digital dan automasi industri. Maklumat lanjut akan dikongsikan oleh MYCentre4IR dalam beberapa minggu akan datang,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: AirBorneo percepat baik pulih armada selepas gangguan penerbangan
Next: FOMCA sokong cadangan wajib pemasangan ‘dashcam’ kenderaan persendirian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.