
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli semasa membahas usul menjunjung kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong 2025 di Dewan Rakyat.
KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya untuk Sarawak, melalui Petroleum Sarawak Berhad (Petros) menjana pendapatan sendiri dengan menggunakan sumber gas dan minyak yang terdapat di Bumi Kenyalang.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata tuntutan yang dibawa oleh Sarawak ke atas hak minyak dan gasnya bukanlah sesuatu yang baharu.
“Sarawak hanya menuntut apa yang telah lama termaktub dalam Perlembagaaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sarawak.
“Seperti yang dikatakan oleh Premier Sarawak, kita perlu mematuhi kedaulatan undang-undang dalam perkara ini dan saya yakin Perdana Menteri pun mempunyai pandangan sama dalam soal tersebut.
“Mungkin ada sesetengah pihak yang mempersoalkan kenapa baharu sekarang? Soalnya mengapa tidak sekarang? Kita sekarang ada pemimpin-pemimpin yang mempunyai kehendak politik di peringkat negeri dan Persekutuan.
“Tidak kiralah hari ini, esok, atau pada masa akan datang kami akan terus mempertahankan hak Sarawak yang dimaktubkan dalam Perlembagaan,” katanya semasa membahas usul menjunjung kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong 2025 di Dewan Rakyat.
Mohamad Shafizan juga mencadangkan agar penyediaan hidangan berbentuk ‘sedia untuk dimakan’ dapat diperluas di semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Katanya, ini bagi memudahkan pengagihan makanan yang lebih cepat dan efisien kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.
“Saya difahamkan ada PPS yang tidak mempunyai selimut dan bantal yang mencukupi. Ada juga PPS yang berdepan masalah bekalan elektrik, bekalan air, tandas rosak dan sebagainya.
“Perkara asas seperti ini perlu diperhalusi dan diperbaiki oleh pihak dan agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana,” katanya
Mohamad Shafizan berkata, banyak penambahbaikan yang boleh dibuat sebagai langkah persediaan untuk menghadapi musim tengkujuh di tahun-tahun yang akan datang.