Sijil Alternatif SASM dikeluarkan 26 Februari ini – KPM

Facebook
WhatsApp

PUTRAJAYA: Sijil Alternatif Sekolah Menengah (SASM) tahun 2024 bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) akan dikeluarkan pada 26 Februari ini, dan boleh diperoleh dari sekolah masing-masing mulai 10.00 pagi.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini berkata, Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) tahun 2024 bagi MBPK telah selesai dilaksanakan pada 7 Januari lepas.

Seramai 4,886 MBPK dari 841 sekolah di seluruh negara telah menamatkan persekolahan bagi sesi akademik 2024/2025 dan layak menerima SASM.

“KPM sentiasa komited untuk terus memastikan ekuiti dan kesamarataan pendidikan terjamin untuk semua murid seperti terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,” menurut kenyataan itu.

KPM berkata, SASM adalah cerminan agenda pendidikan manusiawi kementerian bagi memastikan akses pendidikan yang terbaik untuk semua murid dan tiada siapa yang terpinggir. – Bernama