Tiada rakyat Malaysia terjejas dalam banjir lumpur di Utara Chile – Malawakil Santiago

Facebook
WhatsApp
PENDUDUK tempatan membersihkan lumpur dari kawasan kediaman mereka selepas kejadian tanah runtuh susulan hujan lebat di Puerto Viejo, komun Caldera, wilayah Atacama, Chile pada 17 Ogos 2026. Foto AFP

SANTIAGO (Chile): Tiada rakyat Malaysia yang berdaftar dilaporkan terlibat atau terkesan dalam kejadian banjir lumpur susulan hujan lebat di beberapa kawasan di utara Chile sejak pertengahan Ogos, menurut Kedutaan Besar Malaysia (Malawakil) di Santiago, Chile.

Menurut Malawakil Santiago, sehingga 19 Ogos, seramai 49 rakyat Malaysia telah berdaftar dengan kedutaan manakala pihaknya terus memantau perkembangan keadaan cuaca di kawasan terjejas.

“Hujan lebat telah melanda beberapa kawasan di utara Chile, khususnya Wilayah Atacama dan Wilayah Antofagasta, sehingga menyebabkan banjir lumpur,” menurutnya dalam satu laporan berkaitan perkembangan kejadian cuaca ekstrem dan banjir kilat di utara Chile, yang dikongsikan kepada Bernama.

SEORANG lelaki berjalan di atas timbunan lumpur di kawasan kediamannya selepas kejadian tanah runtuh susulan hujan lebat di Puerto Viejo, komun Caldera, wilayah Atacama, Chile pada 17 Ogos 2026. Foto AFP

“Setakat 18 Ogos, keadaan paling serius dilaporkan di Tocopilla, Antofagasta, yang mengakibatkan beberapa kawasan penempatan dinaiki air dan lumpur serta gangguan kepada akses jalan raya,” menurut Malawakil Santiago.

Amaran risiko banjir lumpur juga telah dikeluarkan bagi kawasan Puerto Viejo, Caldera dan beberapa kawasan berisiko.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa Chile menerusi Perkhidmatan Pencegahan dan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (SENAPRED) telah mengarahkan penduduk di beberapa kawasan berisiko untuk berpindah ke tempat selamat melalui sistem amaran kecemasan.

“Kerajaan Chile turut mengisytiharkan Keadaan Darurat Bencana Tempatan bagi Tocopilla pada 18 Ogos bagi memudahkan penggemblengan sumber kerajaan untuk menangani keadaan kecemasan,” katanya.

Pengisytiharan darurat itu, bagaimanapun, hanya melibatkan wilayah Antofagasta dan bukannya seluruh negara.

Berdasarkan laporan terkini, seramai 64 orang terjejas, 521 ditempatkan di pusat perlindungan dan tiga mengalami kecederaan.

Menurut Malawakil Santiago, keadaan cuaca di beberapa kawasan utara masih dipantau berikutan kemungkinan berlakunya hujan berterusan yang membawa kepada pengaktifan aliran air deras serta risiko banjir lumpur dan tanah runtuh, walaupun keadaan dijangka beransur reda mulai 19 Ogos.

“Rakyat Malaysia di Chile telah dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan serta kekal berhubung dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia bagi mendapatkan maklumat dan bantuan sekiranya keadaan memerlukan.

“Rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk mengelakkan lawatan ke kawasan-kawasan tersebut kecuali bagi urusan kecemasan dan rasmi,” katanya.

Malawakil Santiago menyatakan pihaknya akan terus memantau perkembangan terkini dan akan menyalurkan maklumat kepada Kementerian Luar, sekiranya perlu. – Bernama