
NEW JERSEY, AS: Pengendali skuad Brazil, Carlo Ancelotti menyatakan pada Jumaat bahawa tiada pasukan pilihan yang dilihat pasti memenangi Piala Dunia FIFA kali ini, namun beliau menyenaraikan Brazil sebagai antara pencabar utama kejuaraan, lapor Xinhua.
Bercakap menjelang perlawanan pertama Kumpulan C membabitkan Brazil menentang Maghribi di New Jersey, Ancelotti memilih Sepanyol sebagai pasukan yang mampu menjulang trofi berkenaan tetapi enggan melabelkan juara bertahan Eropah itu sebagai pendahulu.
“Sepanyol adalah satu daripada pasukan pilihan, tetapi pada ketika ini tiada pilihan yang jelas untuk Piala Dunia,” kata warga Itali itu kepada pemberita.
“Ia akan menjadi saingan Piala Dunia yang sangat seimbang, dengan banyak pasukan berkemampuan untuk bersaing sehingga ke penghujung,” katanya.
Brazil kini berada di kedudukan keenam dalam ranking dunia FIFA terbaharu, hanya satu anak tangga di atas Maghribi, yang baru sahaja merangkul gelaran juara Piala Negara-Negara Afrika kedua mereka pada Januari lepas.
Ancelotti menyifatkan anak buah Mohamed Ouahbi itu sebagai sebuah pasukan yang “sangat teratur dan berkualiti.”
“Maghribi adalah antara pasukan terbaik di Afrika. Ia merupakan pasukan yang sangat bersedia dan kuat,” kata bekas bos Real Madrid itu.
Ancelotti telah mengemudi Brazil mencatatkan tujuh kemenangan, dua seri, dan tiga kekalahan sejak mengambil alih tugas pada Mei 2025.
Beliau berikrar pasukannya bersedia untuk bersaing “dengan mana-mana pasukan di dunia” dalam usaha memburu gelaran Piala Dunia keenam, yang kali terakhir dimenangi mereka pada 2002.
“Kami mempunyai kualiti individu, pengalaman… kami mempunyai keyakinan penuh bahawa kami boleh bersaing dengan sesiapa sahaja,” katanya.
Apabila ditanya mengenai perasaannya menerajui Brazil buat kali pertama dalam aksi Piala Dunia, pengendali berusia 67 tahun itu menjawab: “Ini adalah pasukan kebangsaan paling berjaya di dunia. Saya merasakan tanggungjawab dan penghormatan ini, dan saya mahu memulakannya dengan kegembiraan serta kebahagiaan kerana ini adalah momen yang sangat indah dalam sejarah (karier) saya.” – Bernama – Xinhua