KUALA LUMPUR: Pelumba berpengalaman negara, Mohd Harrif Saleh atau dikenali sebagai Mamat masih menggalas cabaran Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) pada jelajah lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang akan membuka tirai pada 29 September hingga 6 Oktober ini.
Perkembangan itu disahkan Ketua Pegawai Operasi TSG Nasiruddin Wan Idrus sekali gus menyaksikan Mohd Harrif, 35, bakal mencipta sejarah tersendiri di pentas LTdL apabila memegang status sebagai pelumba paling banyak membuat penampilan iaitu sebanyak 15 kali.
“Bagi saya masih mempertaruhkannya sebab setakat ini pelumba pecut (sprinter) terbaik TSG masih Harrif Saleh. Tiada istilah kuda tua buatnya dan kita tak jumpa lagi pelapis yang setaraf dengan dia. Kita lihat prestasi beliau juga dalam tahap terbaik ditambah pengalaman yang dia miliki,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Mamat yang meraih tiga kemenangan peringkat perlumbaan LTdL membuat penampilan ke-14 pada edisi 2023, sekali gus mengatasi rekod 13 penampilan dipegang pelumba Iran, Ghader Mizbani.
Turut berada dalam senarai sejarah penampilan terbanyak LTdL ialah dua bekas pelumba kebangsaan Annuar Manan dan Loh Sea Keong apabila masing-masing membuat 12 penampilan.
Nasiruddin berkata, selain Mamat, TSG turut dibarisi Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Nur Aiman Mohd Zariff, Andreas Miltiadis, Anatolli Budiak selain Muhammad Nur Aiman Rosli yang pertama kali beraksi bersama pasukan TSG.
“Berdasarkan pencapaian beliau (Aiman Rosli) dalam beberapa siri perlumbaan UCI sebelum ini, beliau beraksi dengan cemerlang dengan bantuan rakan-rakan sepasukan jadi kita mengharapkan beliau mampu membuat kejutan sepertimana dilakukan semasa Tour of Thailand (Juara Peringkat 2),” katanya.
Beliau berkata pihak pengurusan pasukan dalam masa sama menetapkan sasaran sekurang-kurangnya satu podium serta seorang pelumba bagi merebut gelaran 10 pelumba terbaik keseluruhan (GC).
LTdL 2024 edisi ke-28 sejauh 1,190 kilometer membabitkan lapan peringkat dengan Langkawi sekali lagi disenaraikan dalam laluan perlumbaan selain dua peringkat di Miri dan Bintulu, Sarawak.
Perlumbaan peringkat pertama bermula di Langkawi diikuti peringkat kedua dari Arau ke Butterworth, Taiping ke Cameron Highlands (peringkat tiga), Kuala Kubu Baru ke Bentong (peringkat empat), Kuala Lumpur ke Melaka (peringkat lima), Batu Pahat ke Kulai (peringkat enam), Miri ke Bintulu (peringkat tujuh) dan Bintulu (peringkat lapan). – Bernama