BANGKOK: Kerajaan Thailand yakin fasa kedua pelaksanaan perintah berkurung dengan pelonggaran sekatan yang bermula semalam akan meringankan beban ekonomi.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Awam, Taweesin Wisanuyothin, berkata Kabinet sudah meluluskan cadangan Majlis Keselamatan Nasional melonggarkan perintah larangan bagi membolehkan sektor perniagaan di zon hijau dapat kembali beroperasi.
Antara perniagaan yang dibuka semula termasuk kedai di dalam pasar raya seperti premis jualan pakaian, kosmetik, alatan sukan dan perkakasan elektrik.
Perniagaan lain yang turut diberi kelonggaran adalah pusat kecergasan dan gimnasium dengan bersyarat iaitu tiada kegiatan berkumpulan atau menggunakan peralatan berasaskan mesin.Pada masa sama, kerajaan cuma membenarkan sukan yang tidak membabitkan sentuhan atau kontak fizikal.
Antara syarat bagi kegiatan sukan ialah ia mesti membabitkan maksimum tiga pemain dalam satu kumpulan dengan perlawanan tidak boleh membabitkan tontonan orang awam.Sukan yang dibenarkan termasuk badminton, ping-pong, yoga, lawan pedang dan skuasy.
Sementara itu, bilik mesyuarat dewan konvensyen di hotel turut dibenarkan beroperasi dengan jumlah individu pada sesuatu masa dihadkan.Turut dibuka dalam tempoh fasa kedua perintah berkurung ini termasuk perpustakaan, galeri dan muzium.
Bagi penggiat seni, penggambaran filem atau drama turut dibenarkan beroperasi dengan maksimum 50 orang kru, selain perlu mematuhi penjarakan sosial termasuk tidak makan secara berkumpulan.
Kerajaan turut menegaskan, tidak ada perubahan bagi perkhidmatan pengangkutan termasuk pada peringkat antarabangsa dengan kawalan ketat saringan di antara wilayah masih dikekalkan.
Waktu berkurung juga akan dilonggarkan selama sejam iaitu dari jam 11.00 malam hingga jam 4.00 pagi berbanding jam 10 malam hingga jam 4.00 pagi pada masa ini. – AFP