
KUCHING: Thadeus Ling Allu kekal sebagai Pengerusi Sarawak Dayak National Union (SDNU) Cawangan Kuching bagi penggal 2025–2028 dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke-9 yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Menurut Thadeus Ling Allu, tahun 2025 sangat signifikan kerana SDNU Kuching bakal menyambut ulang tahun ke-10 penubuhannya, dan pihaknya bersedia memperkenalkan pelan strategik yang lebih menyeluruh demi manfaat masyarakat Dayak.

“Kita bukan sekadar menyambut jubli, tetapi juga melancarkan pelan strategik baharu yang lebih menyeluruh. Pelan strategik ini memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu pendidikan, kebudayaan, kebajikan dan pembangunan belia.
“Antara program utama yang telah dirancang termasuk Kursus Pertanian Moden dengan kerjasama Jabatan Pertanian, Karnival Kebudayaan Dayak dan Program Mentor Belia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Tambah beliau, SDNU juga akan mempergiat kerjasama dengan agensi kerajaan, sektor swasta dan institusi pendidikan bagi memperluaskan pelaksanaan program kemasyarakatan.
Dalam pada itu, pemilihan barisan kepimpinan baharu turut menyaksikan Petrus Ngalih Tingi dilantik sebagai Timbalan Pengerusi menggantikan Gat Belabot, manakala Dr. Stanley Abang dan Alice Vynar masing-masing menggalas jawatan Setiausaha dan Bendahari.
Pemilihan tersebut diselaraskan oleh tiga wakil SDNU Pusat iaitu Belayong Pok, Jetphre Empali dan Spencer Birai.

SDNU Cawangan Kuching yang kini memiliki lebih 1,000 ahli dan hubungan erat dengan Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS), turut akan menghantar 15 wakil ke Mesyuarat Agung SDNU Pusat yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.
Mesyuarat turut meluangkan masa bagi mengenang jasa barisan kepimpinan sesi 2022–2025 dan Thadeus Ling Allu mengucapkan penghargaan kepada mereka atas sumbangan berterusan dalam membangunkan kesatuan itu.