PALANGKARAYA, Indonesia: Berpakaian seperti adiwira kegemarannya, remaja Indonesia, Rudiyansah, berjalan meredah kawasan hangus sambil membantu memadam kebakaran hutan yang memusnahkan kawasan luas di Kalimantan.
Kalimantan kini berdepan kebakaran besar yang menyebabkan jerebu tebal menyelubungi sebahagian pulau yang dikongsi Indonesia dengan Sarawak dan Brunei.
Pakaian Superman berwarna merah dan biru yang dipakai Rudiyansah begitu menyerlah berlatarkan landskap tandus dan hangus di sekitar Palangkaraya.
Dia menyertai kumpulan sukarelawan pemadam kebakaran tempatan yang ditubuhkan bapanya bagi memadam kebakaran tanah gambut.
Remaja berusia 17 tahun itu memberitahu AFP bahawa dia menggunakan masa lapang selepas persekolahan untuk membantu bapanya memadam kebakaran sejak 2023.

Namun, tahun ini dia mengambil keputusan untuk mengenakan pakaian ketat berwarna terang itu ketika memadam kebakaran, sekali gus menghasilkan imej menarik yang mendapat perhatian dalam usaha membendung kebakaran berkenaan.
Rudiyansah berkata, berpakaian seperti adiwira itu dilakukan “sekadar untuk berseronok”, namun video menunjukkan dia menggunakan hos untuk membasahkan tumbuh-tumbuhan menjadi tular, meraih jutaan tontonan dan menyebabkan Menteri Perhutanan Indonesia menggelarnya sebagai “wira hutan”.
“Sejujurnya, saya sangat gembira kerana dapat membantu penduduk tempatan walaupun berasa sangat penat,” kata Rudiyansah, yang seperti kebanyakan rakyat Indonesia hanya menggunakan satu nama, kepada AFP ketika masih mengenakan jubahnya.
Katanya, dia membasahkan sedikit pakaiannya sebelum memasuki kawasan ladang bagi mengelakkannya daripada terbakar dan mencucinya setiap malam supaya sentiasa bersih.
Budak Biasa
Bapanya, Mulyadi, memberitahu AFP bahawa jerebu akibat musim kebakaran tahun ini adalah yang terburuk pernah dialami kumpulan sukarelawan pemadam kebakaran itu sejak ditubuhkan pada 2020.
“Di rumah, dia seperti budak biasa,” katanya ketika ditanya mengenai anaknya yang mengenakan jubah Superman.
“Namun, apabila dia melihat saya keluar, dia bertanya, ‘Ayah hendak memadam kebakaran? Saya ikut,’” katanya.
Mulyadi berkata, kekurangan air menjadi cabaran utama kepada anggota pemadam kebakaran apabila telaga dan sumber air lain mengering akibat kemarau.

Kebakaran antara Januari hingga Julai memusnahkan lebih 200,000 hektar tanah, iaitu kawasan tiga kali ganda saiz ibu negara Jakarta, menurut kerajaan minggu ini.
Keluasan itu sudah melebihi kawasan yang terbakar ketika musim El Nino sebelum ini pada 2019 dan 2023.
El Nino ialah corak cuaca yang mencetuskan perubahan global dalam angin, tekanan atmosfera dan taburan hujan.
Kerajaan mengarahkan penambahan anggota tentera dan pesawat bagi membantu membendung kebakaran serta jerebu yang turut merebak ke Sarawak.
El Nino ialah fenomena iklim semula jadi yang lazimnya menyebabkan kemarau, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan di Indonesia.
Perubahan iklim yang berpunca daripada aktiviti manusia pula boleh memburukkan kesannya apabila lautan dan atmosfera yang lebih panas menyediakan lebih banyak tenaga dan kelembapan untuk mencetuskan kejadian cuaca ekstrem.
Rudiyansah, yang bercita-cita menjadi renjer hutan suatu hari nanti, menggesa anggota bomba dan sukarelawan supaya terus bersemangat walaupun berdepan cabaran memadam kebakaran.
“Kepada sukarelawan dan anggota pemadam kebakaran di seluruh Indonesia, teruskan semangat dalam memerangi kebakaran,” katanya. – AFP



