
KUCHING: Program Perantis wanita yang dilaksanakan kerajaan terbuka kepada semua golongan wanita tanpa mengira tahap pengalaman, dan bukan hanya tertumpu kepada individu yang sudah berjaya atau mempunyai nama dalam bidang masing-masing.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pendekatan itu bertujuan memberi peluang kepada wanita berpotensi untuk membina keyakinan, memperkukuh kepimpinan serta mencipta impak kepada masyarakat dan ekonomi negara.
Menurut beliau, Sarawak menerima 11 program Perantis pada tahun ini, melibatkan seramai 640 wanita dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, sosial, kepimpinan dan teknologi.
“Program ini tidak mensyaratkan seseorang itu sudah berjaya. Ia terbuka kepada semua wanita yang mempunyai idea, keinginan dan kesungguhan untuk menyumbang kepada komuniti,” katanya pada sidang media Bengkel Pembangunan Kepimpinan Untuk Usahawan Wanita Dayak (PENDAYA), di Dayak Chambers di sini, hari ini.
Nancy berkata, kerajaan memperuntukkan RM5 juta secara keseluruhan bagi pelaksanaan program perantis di seluruh negara, dengan setiap perantis yang terpilih layak menerima pembiayaan sehingga RM50,000 bagi melaksanakan program masing-masing.
Daripada 11 program perantis di Sarawak, tiga memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, dua melibatkan bidang sosial, tiga berkaitan kepimpinan manakala satu lagi memfokuskan kepada teknologi.
Beliau menjelaskan, pemilihan perantis dibuat berdasarkan kualiti idea, keupayaan kepimpinan dan potensi impak program, bukannya latar belakang status atau hubungan peribadi.
“Persaingan sangat terbuka dan kompetitif. Permohonan mencecah ribuan dari seluruh negara, termasuk Sarawak,” katanya.
Menurut beliau, sehingga 2025, program perantis telah melaksanakan lebih 100 program di seluruh negara melibatkan 4,770 wanita daripada pelbagai latar belakang profesional, sekali gus membuktikan keberkesanan inisiatif itu dalam melahirkan pemimpin wanita baharu.
Nancy turut menggalakkan wanita Sarawak memanfaatkan platform perantis bagi mempromosikan produk tempatan dan idea berteraskan kelestarian, termasuk inisiatif berkaitan inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang berpotensi dikembangkan ke peringkat nasional dan antarabangsa.
“Matlamat kita jelas, iaitu melahirkan lebih ramai wanita yang berdaya saing, berkeyakinan dan mampu tampil sebagai pemimpin komuniti serta penggerak ekonomi negara,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat