
KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terpaksa bermandi peluh sebelum berjaya melepasi halangan pertama pada Terbuka Indonesia berlangsung di Istora Senayan, hari ini.
Pasangan di ranking kesepuluh dunia itu perlu mengharungi 59 minit sebelum berjaya mengetepikan cabaran pasangan keempat dunia Dhruv Kapila-Tanisha Crasto dari India 21-11, 16-21, 21-14 dalam pertemuan pertama kedua-dua beregu campuran itu.
Menerusi rakaman audio dikongsi Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Ee Wei mengakui menghadapi sedikit kesukaran untuk mencari rentak permainan namun tetap percaya antara satu sama lain manakala Tang Jie pula menyifatkan lawannya pasangan yang tidak mudah mengaku kalah.
“Tanisha adalah lawan sukar, agresif dan kuat dari segi fizikal. Bagi kami, sikap agresifnya itu membuatkan kami lebih bersemangat dan konsisten dalam gelanggang,” kata Tang Jie.
Pada perlawanan pusingan kedua esok, Tang Jie-Ee Wei dijadualkan berdepan wakil Denmark, Mads Vestergaard-Christine Busch yang menewaskan satu lagi pasangan India Ashith Surya-Amrutha Pramuthesh 21-15, 21-9. – Bernama