GAH di langit biru, kelihatan kapal terbang meluncur laju melintasi gumpalan awan, membawa harapan setiap penumpang untuk tiba dengan selamat ke destinasi. Walaupun sesekali dikejutkan oleh gegaran yang datang tiba-tiba, kapal terbang tetap utuh dan terus menempuh perjalanan dengan tenang. Pengangkutan udara menjadi pilihan utama kerana mampu mempercepatkan perjalanan yang jauh, selain diberi jaminan berada di tahap keselamatan tertinggi bagi mengelakkan sebarang bencana.
Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), kadar kemalangan udara pada 2023 secara keseluruhan adalah 0.80 bagi setiap sejuta penerbangan. Hal ini bermakna hanya satu kemalangan untuk setiap 1.26 juta penerbangan. Tambahan pula, risiko kematian menurun kepada 0.03 berbanding 0.11 pada 2022 menjadikan perjalanan udara sangat selamat berbanding mod pengangkutan lain.
Hakikatnya, keselamatan sepanjang penerbangan tidak hanya bergantung kepada nasib, tetapi ia dibina di atas gabungan beberapa faktor penting yang membentuk keyakinan akan tahap keselamatan setiap penerbangan. Kapal terbang moden direka dengan penggunaan bahan komposit, iaitu bahan ringan tetapi kuat di samping mempunyai kelebihan tambahan yang lain. Bahan komposit yang sering digunakan dalam pembinaan kapal terbang moden ialah serat karbon, serat kaca dan Kevlar.
Serat karbon adalah bahan utama kerana sifat yang sangat ringan dan mempunyai kekuatan tinggi untuk mengurangkan berat pesawat sambil mengekalkan kekuatan struktur. Selain itu, serat kaca digunakan untuk bahagian tertentu kerana mampu tahan kakisan manakala Kevlar pula digunakan untuk komponen yang memerlukan ketahanan terhadap hentakan atau beban berat. Maka dengan menggunakan bahan ini, kecekapan penggunaan bahan api dapat dipertingkatkan dan seterusnya menjadikan kapal terbang lebih efisien dalam menggunakan tenaga.
Pada masa sama, bahan-bahan ini dapat membantu memanjangkan jangka hayat kapal terbang dan mengurangkan kos penyelenggaraan. Keupayaan bahan komposit untuk menahan tekanan cuaca melampau serta penggunaan yang kerap turut diterjemahkan dalam reka bentuk pesawat yang mengutamakan integriti struktur. Oleh itu, kapal terbang akan berada dalam keadaan optimum sepanjang perjalanan.
Kapal terbang moden turut dipasang dengan teknologi kawalan canggih iaitu fly-by-wire. Sistem ini menggunakan kawalan elektronik yang membolehkan juruterbang memberi arahan yang akan diproses oleh komputer. Arahan ini kemudiannya diterjemahkan kepada pergerakan fizikal yang mengawal permukaan kawalan kapal terbangs seperti sayap, penstabil dan sirip ekor. Fly-by-wire bukan sahaja menjadikan kawalan lebih tepat dan responsif tetapi juga mengurangkan beban kerja juruterbang serta memastikan keselamatan lebih baik kerana komputer dapat membetulkan kesilapan manusia atau faktor luaran dengan lebih pantas.
Sebelum teknologi ini diperkenalkan, kapal terbang menggunakan kabel dan tuas mekanikal untuk mengawal sayap dan ekor pesawat. Kaedah ini memerlukan lebih tenaga fizikal daripada juruterbang dan berisiko menghasilkan tindak balas yang kurang berkesan. Tidak hanya sekadar itu, beberapa komponen kritikal seperti sistem hidraulik dan sistem elektrik dipasang dengan ada pertindanan atau sistem sandaran. Perkara ini bertujuan untuk mengelakkan kegagalan sepenuhnya semasa operasi.
Sekiranya satu sistem mengalami kegagalan, sistem sandaran masih dapat berfungsi untuk mengekalkan keselamatan dan kestabilan pesawat. Dengan ciri-ciri ini, kapal terbang moden dapat mengurangkan risiko bencana dengan lebih berkesan, memastikan keselamatan penerbangan terjamin walaupun dalam situasi yang tidak dijangka.
Selain faktor binaan dan sistem yang digunakan dalam kapal terbang, setiap pesawat komersial perlu melalui rutin pemeriksaan dan penyelenggaraan yang ketat. Prosedur ini dilakukan bagi memastikan setiap struktur dan komponen kapal terbang, dari muncung hingga ke ekor termasuk enjin, sistem elektronik, sistem kawalan dan sistem hidraulik berada dalam keadaan optimum sebelum berlepas.
Hal ini kerana, setiap kapal terbang perlu mematuhi piawaian ditetapkan oleh pihak berkuasa penerbangan bagi menjamin keselamatan penumpang dan kru kapal semasa penerbangan.
Seterusnya keselamatan juga dapat dipertingkatkan dengan kesiapsiagaan kru penerbangan melalui latihan intensif dan program simulasi berterusan.
Juruterbang serta kru kabin dilatih untuk menghadapi pelbagai situasi kecemasan seperti cuaca buruk atau kerosakan teknikal. Dengan pendedahan sebegini mereka akan dapat bertindak pantas dan tepat ketika diperlukan.
Latihan ini merangkumi prosedur kecemasan, pengurusan kru dan komunikasi yang berkesan untuk memastikan keselamatan penumpang sentiasa terjamin sepanjang perjalanan udara. Sistem kawalan lalu lintas udara yang efektif juga merupakan faktor penting yang mempengaruhi keselamatan perjalanan udara. Ini kerana sistem ini mengawal aliran kapal terbang di udara dengan memastikan jarak selamat antara setiap pesawat dan menyediakan maklumat kritikal kepada juruterbang seperti perubahan cuaca atau kecemasan.
Kawalan lalu lintas yang berfungsi dengan cekap dapat mengelak perlanggaran di udara melalui pemantauan laluan penerbangan yang berterusan bagi memastikan kapal terbang berada dalam ruang udara yang selamat, terutamanya di kawasan trafik padat. Jika berlaku kecemasan, kapal terbang dilengkapi dengan sistem kecemasan yang direka untuk mengurangkan risiko kehilangan nyawa.
Peralatan seperti gelongsor kecemasan yang membolehkan penumpang keluar dengan cepat dan rakit penyelamat untuk situasi pendaratan kecemasan di air adalah antara usaha untuk memastikan keselamatan penumpang.
Selain itu, sistem pemadaman kebakaran dan jaket keselamatan juga tersedia di setiap tempat duduk manakala sistem oksigen akan diaktifkan sekiranya terdapat penyahmampatan kabin bagi memastikan semua penumpang mempunyai bekalan oksigen mencukupi.
Tambahan pula, kapal terbang turut dilengkapi dengan sistem navigasi kecemasan yang membolehkan ia diterbangkan dengan selamat walaupun berlaku kerosakan teknikal yang kritikal.
Dengan segala usaha dilakukan bermula dengan reka bentuk kapal terbang, penggunaan bahan binaan terbaik, pemasangan sistem sempurna serta pematuhan ketat kepada peraturan pihak berkuasa, maka tidak ragu-ragu lagi bahawa kapal terbang dapat memberikan tahap keselamatan tertinggi kepada penumpang. Maka terbanglah dengan rasa yang tenang kerana yakin perjalanan anda dalam keadaan yang selamat.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.