SIBU: Semangat keberanian, pengorbanan dan kecintaan kepada Sarawak yang ditunjukkan oleh para pejuang terdahulu seperti Allahyarham Rosli Dhoby akan terus menjadi inspirasi kepada generasi hari ini untuk mentransformasikan Bumi Kenyalang sebagai kuasa ekonomi baharu di negara dan rantau ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dalam sejarah perjuangan Sarawak, Sibu juga mempunyai tempat yang amat istimewa.
Katanya, ini kerana di Sibu lahirnya semangat patriotisme melalui perjuangan tokoh seperti Allahyarham Rosli Dhoby bersama rakan seperjuangan beliau seperti Allahyarham Morshidi Sidek, Allahyarham Awang Rambli Deli dan Allahyarham Bujang Suntong.

“Mereka merupakan sebahagian daripada sejarah perjuangan Sarawak yang memperlihatkan keberanian anak-anak tempatan dalam mempertahankan maruah dan kepentingan tanah air mereka.
“Saya berharap semangat keberanian, pengorbanan dan kecintaan kepada Sarawak yang ditunjukkan oleh para pejuang terdahulu akan terus menjadi inspirasi kepada generasi hari ini untuk mentransformasikan Bumi Kenyalang sebagai kuasa ekonomi baharu di negara dan rantau ini, Insyallah,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Hari Sarasak 2026 di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang di sini malam ini.
Beliau berkata pemilihan Sibu sebagai lokasi sambutan pada tahun ini amat bermakna kerana bandar ini mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sejarah pembangunan Sarawak.
Katanya, Sibu bukan sahaja merupakan sebuah bandar strategik di bahagian tengah Sarawak, tetapi juga menjadi simbol kepada semangat kerja keras, keusahawanan dan ketabahan masyarakat yang membangunkan bandar ini dari generasi ke generasi, terutamanya masyarakat Foochow yang terkenal dengan semangat meneroka peluang baharu, khususnya dalam sektor pertanian, perdagangan dan industri perkayuan.
Abang Johari berkata sejak 2016, rakyat Sarawak daripada pelbagai latar belakang telah bersama-sama memperingati 22 Julai sebagai Hari Sarawak.

Tarikh ini katanya, membawa makna yang amat mendalam kerana ia memperingati detik bersejarah apabila tanggungjawab pentadbiran Sarawak diserahkan kepada anak-anak Sarawak sendiri pada 1963.
“Namun, Hari Sarawak bukan sekadar memperingati satu peristiwa sejarah. Lebih penting lagi, ia adalah simbol keyakinan diri rakyat Sarawak bahawa kita mampu menentukan hala tuju masa depan kita sendiri, membina kekuatan ekonomi kita sendiri dan berdiri sebagai sebuah wilayah yang maju serta dihormati dalam Persekutuan Malaysia.
“Daripada sebuah wilayah yang suatu ketika dahulu berdepan cabaran besar dari segi infrastruktur, pendidikan dan pembangunan ekonomi, Sarawak hari ini telah berubah dengan begitu ketara.
“Perubahan ini tidak berlaku dalam sekelip mata. Ia adalah hasil usaha berterusan rakyat Sarawak, kepimpinan yang mempunyai visi jelas serta dasar pembangunan yang dirancang secara strategik dan berpandangan jauh.
“Hari ini, kita tidak lagi hanya melihat Sarawak sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sumber semula jadi, tetapi sebagai sebuah wilayah yang sedang membina ekonomi berasaskan inovasi, teknologi, tenaga bersih dan modal insan,” katanya.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2026, Dato Sri Lee Kim Shin serta yang lain.
Oleh Akun Giman dan Tarani Lanting




