DATO Sri Fatimah menyediakan hidangan Teramau atau Seliseh.
Selama ini orang ramai tahu bahawa kari ayam memang enak jika dipadankan dengan lemang ketupat ataupun roti canai dan nasi putih. Malah jika tiada satu menu di antara padanan ini, hidangan seperti tidak lengkap.
Namun bagi masyarakat Melanau, kari ayam ini paling biasa mereka padankan dengan sagu kerana sagu memang makanan ruji bagi masyarakat itu sejak sekian lama.
“Padanan sagu dan kari ayam ini dinamakan Teramau atau Seliseh. Ini makanan tradisi kami sejak zaman dahulu. Cubalah, ia amat enak” kata Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah ketika memperkenalkan menu ini kepada penulis semasa Pesta Kaul Sungai Kut Muara, baru-baru ini.
Bagi yang pertama kali melihat padanan sagu dan kari ayam ini mungkin agak janggal tetapi apabila sudah sampai ke mulut, memang tidak dinafikan keenakannya. Rasa pedas dan lemak kari ayam bergabung dengan rasa lemak rangup sagu, mencipta satu rasa yang cukup istimewa.
“Tak sukar nak menyediakan hidangan ini tapi ada rahsianya kalau nak Teramau atau Seliseh ini sedap. Sagunya mesti lemak dan enak. Kalau tidak, padanan ini nanti tidak enak,” kata Fatimah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti.
Menurut Fatimah, orang Melanau zaman dahulu memang bergantung sepenuhnya kepada tepung sagu atau Lemantak sebagai makanan asasi mereka. Justeru pelbagai menu dicipta daripada tepung ini sebagai hidangan harian seperti Linut, sebagai makanan untuk dimakan dengan ikan bilis dan sebagainya.
Sementara itu bijian sagu diperbuat daripada kelapa parut, santan, garam, hampas padi halus serta tepung sagu. Hanya yang pakar sahaja boleh menghasilkan bijian sagu yang enak dan proses pembuatannya secara tradisi masih dilihat sebagai penting bagi mengekalkan rasanya.
Di konstituensi Dato Fatimah, Sagu Medong agak terkehadapan daripada kawasan lain kerana terkenal dengan rasanya lengkap dari segi lemak, masin dan rangup.
Jadi jika anda inginkan kelainan untuk hidangan kari ayam, cubalah gabungkan dengan sagu dan rasakan sendiri keenakannya!.
Oleh HAINI DARANI