Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Tengku Zafrul kini sah Presiden baharu BAM
  • SUKAN

Tengku Zafrul kini sah Presiden baharu BAM

Utusan Sarawak 7 hours ago
TENGKU Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bergambar bersama yang lain selepas sidang media sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk badminton negara kali ke-80 hari ini. Foto Badminton Assiocation of Malaysia (BAM)

KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kini secara rasmi bergelar Presiden baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Tengku Zafrul dipilih secara sebulat suara menduduki kerusi nombor satu BAM selepas tidak dicabar mana-mana pesaing pada sesi pemilihan yang dijalankan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk badminton negara kali ke-80 di sini hari ini.

Tengku Zafrul yang bersyukur diberi mandat dan kepercayaan oleh ahli majlis BAM menyifatkan ia sebagai amanah dan penghormatan besar, yang akan digalasnya dengan penuh dedikasi bagi memperkasa persatuan itu menjadi entiti yang disegani baik di dalam mahupun luar negara.

“Bagi saya ini adalah satu penghormatan yang besar dan amanah ini akan saya galas dengan penuh tanggungjawab, dedikasi serta keazaman untuk melihat sukan badminton negara terus cemerlang di persada dunia.

“Saya akan gunakan pengalaman saya di sektor swasta dan kerajaan untuk memastikan pengurusan BAM terus diperkasa dan persatuan ini menjadi institusi sukan contoh bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media di sini.

Dalam pada itu, beliau memohon diberi tempoh 100 hari bagi mendapatkan pandangan daripada pemegang taruh, para pemain, barisan kejurulatihan dan penaja sebelum merangka pelan strategik dan efektif untuk kemajuan sukan badminton negara.

Tengku Zafrul berkata beliau memerlukan tempoh masa itu untuk memahami dan meneliti cadangan atau isu yang membelenggu sukan badminton negara kerana percaya pendekatan berkenaan antara kunci membina perancangan yang komprehensif dan realistik.

“Selepas tempoh 100 hari ini, insya-Allah saya akan bentangkan visi strategik dan pelan tindakan komprehensif saya bersama pasukan kita,” katanya.

Biarpun menyedari bebanan dan harapan tinggi yang diletakkan peminat sukan tanah air terhadap badminton, Tengku Zafrul berkata beliau sedia mengambil cabaran itu termasuk cuba menjelmakan emas sulung negara pada Sukan Olimpik kelak.

“Saya bersedia menghadapi cabaran dan saya rasa ini adalah cabaran, yang jika kita merancang dengan betul dan melaksanakan dengan betul, ia adalah cabaran yang boleh kita ambil dan berjaya,” katanya.

Tengku Zafrul yang menjadi presiden ke-13 BAM pada masa sama memaklumkan bekas pemangku presiden BAM Datuk V. Subramaniam dilantik semula sebagai timbalan presiden 1 manakala Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos kekal menyandang timbalan presiden 2.

Beliau juga mengambil peluang menghargai jasa dan sumbangan bekas presiden Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang berjaya meletakkan asas penting untuk BAM terus bergerak ke hadapan.

Beliau turut menyeru sokongan padu daripada semua pihak berkepentingan termasuk peminat sukan tanah air diberikan kepadanya dan barisan kepimpinan BAM dalam usaha mencapai kejayaan lebih gemilang pada masa depan.

Pada Mac lepas, Subramaniam mengumumkan bahawa majoriti ahli majlis BAM mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Tengku Zafrul sebagai presiden baharu.

Pada awal tahun lepas, Tengku Zafrul hampir dilantik menjadi presiden BAM bagi menggantikan Mohamad Norza, yang pada mulanya bercadang untuk meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta Mohamad Norza mempertimbangkan semula keputusan itu dan kekal memegang jawatan berkenaan sehingga Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Selepas temasya itu berakhir, BAM memutuskan untuk melantik Subramaniam sebagai pemangku presiden sehingga AGM kali ini. – Bernama

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Piala Dunia Wanita 2031 dan 2035, libatkan 48 pasukan
Next: Pertandingan Badminton Berpasukan Sri Aman cungkil bakat baharu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.