PENGANJURAN Larian Jambatan Batang Sadong yang diadakan pada 26 Februari (Sabtu) lepas merupakan satu acara yang cukup mengilhamkan bagi para penganjur acara-acara menarik di Sarawak.
Larian Jambatan Batang Sadong yang telah diadakan bersempena dengan pesta Citrawarna Keluarga Malaysia, telah menarik lebih 1,000 peserta.
Sambutan yang begitu memberangsangkan bagi acara yang diadakan di sebuah kawasan yang terletak 63 kilometer dari bandar raya Kuching bermakna ia berpotensi untuk diperkembangkan dan dijadikan salah satu cara mempromosikan tempat-tempat menarik lain yang ada di Sarawak.
Syabas wajar diucapkan kepada Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri, atas idea yang bernas itu. Bersesuaian dengan kedudukannya sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Malaysia, acara itu dianggap promosi pelancongan sifatnya.
Namun, acara sedemikian wajarlah juga disambung pula oleh Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain, yang sudah pasti memiliki keeksotikan kawasan masing-masing yang boleh ditonjolkan melalui acara sedemikian, termasuk Safari Rakit, Safari Air Putih, Pesta Lumba Kerbau, Pesta Makan Tahun, Pesta Nuneken dan bermacam-macam lagi.
Khabarnya Datuk Seri Nancy telah teransang dengan kejayaan Larian Batang Sadong itu sehingga ingin melanjutkan acara serupa dengan menambah kategori separuh marathon dan marathon penuh selepas sambutan Aidilfitri nanti.
Kejayaan acara Larian Jambatan Batang Sadong menarik ramai peserta itu ialah keinginan sebilangan besar daripada mereka untuk menikmati keindahan persekitaran sebuah jambatan sungai terpanjang di Malaysia.
Dengan melalui jambatan merentangi 1.48 kilometer jarak, perasaan keterujaan yang para pelari seronokkan ialah mereka merentangi sebuah jambatan yang popular dalam kalangan para pelancong yang ingin melihat kewujudan buaya di dalam Sungai Sadong.
Apabila acara sedemikian diadakan sudah tentulah memanfaatkan para penduduk tempatan yang berupaya membuka gerai-gerai jualan di persekitaran tempat acara diadakan. Gerai-gerai bolehlah memperagakan pelbagai bentuk makanan dan minuman, di samping hasil kraf tangan, buah-buahan tempatan dan seumpamanya.
Acara larian sedemikian bolehlah menawarkan hadiah-hadiah menarik dalam bentuk tiket penerbangan komplimentari ke kawasan-kawasan berdaya tarikan pelancongan yang hebat seperti ke Gua Mulu dan ke Gua Niah (dalam Bahagian Miri), ke Gua Angin, Gua Pari-pari (daerah Bau-Lundu), berserta dengan vaucar penginapan komplimentari ke beberapa Inap Desa, rumah panjang, glamping dan seumpamanya, yang ada di seluruh Sarawak.
Ini bermakna, sebelum sebarang larian diadakan bagi mana-mana jambatan di Sarawak, hendaklah dikhabarkan terlebih awal dengan para pemilik hotel, syarikat penerbangan, pemilik penginapan, pengusaha kraf, serta pelbagai bentuk aktiviti yang eksotik bagi menyelaraskan kerjasama dalam mempromosikan bidang perniagaan masing-masing yang berupaya menyumbang kepada perkembangan sektor pelancongan Sarawak.