KUALA LUMPUR: Sehingga Mei 2020, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) telah menyalurkan bantuan pinjaman kepada seramai 214 usahawan India dengan nilai pembiayaan berjumlah RM6.4 juta, demikian Dewan Rakyat diberitahu, semalam.
Menurut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, bantuan pembiayaan kepada usahawan kaum India diberikan melalui program khusus iaitu program Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI).
Jumlah pembiayaan yang ditawarkan melalui SPUMI adalah dari nilai RM1,000 sehingga RM100,000, manakala, tempoh bayaran balik pembiayaan adalah antara enam bulan sehingga 10 tahun, dengan kadar keuntungan sebanyak empat peratus.
Sejak diperkenalkan pada 2008, sehingga Disember 2019, SPUMI telah berjaya dimanfaatkan oleh 21,887 usahawan India dengan jumlah keseluruhan pembiayaan sebanyak RM306 juta.
“Bagi tahun 2019, TEKUN Nasional telah membantu seramai 885 usahawan India dengan nilai pembiayaan berjumlah RM19.2 juta,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat.
Jawapan itu adalah bagi menjawab soalan Sivakumar Varatharaju Naidu (DAP-Batu Gajah) yang ingin tahu mengenai penyaluran dana pinjaman melalui TEKUN mengikut kaum pada tahun 2019 dan setakat bulan Jun 2020, serta penglibatan kaum India dalam peruntukan khas yang disediakan melalui TEKUN untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya.
Berdasarkan laporan kajian keberhasilan yang dijalankan terhadap usahawan SPUMI yang menerima pembiayaan pada 2018, didapati bahawa 76 peratus daripada mereka mencatatkan peningkatan jualan bulanan melebihi 20 peratus, manakala 79 peratus berjaya meningkatkan keuntungan bersih perniagaan. – Bernama