BINTANGOR: Penyediaan teknologi moden termasuk televisyen pintar, peralatan robotik, pencetak 3D dan dron bakal memperkukuh pembelajaran digital serta pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Daerah Meradong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kemudahan berkenaan penting dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih efektif dan interaktif, selain mempersiapkan murid menghadapi perkembangan pendidikan dalam era digital.
“Lawatan ini bertujuan meninjau keperluan sekolah-sekolah serta melihat sendiri usaha berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuhkan pembangunan pendidikan melalui penyediaan kemudahan pembelajaran yang lebih moden dan kondusif.
“Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa memberikan perhatian serius terhadap pembangunan sektor pendidikan tanpa mengira aliran sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai hari kedua lawatan ke SJKC di Daerah Meradong bersama Pengerusi Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan SJKC Cina Sarawak, Dato Jonathan Chai Voon Tok, baru-baru ini.
Katanya, komitmen kerajaan terbukti melalui penyaluran pelbagai bentuk peruntukan dan geran kepada Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan SJKC Cina Sarawak serta gabungan sekolah Cina bagi membiayai kerja-kerja menaik taraf prasarana sekolah, penyelenggaraan bangunan dan penyediaan kemudahan bilik darjah pintar.
“Pelaburan dalam pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang penting untuk melahirkan modal insan berkualiti, berpengetahuan dan mampu bersaing dalam era digital.
“Penyediaan kemudahan teknologi di sekolah merupakan langkah strategik untuk memastikan murid mendapat akses kepada sistem pembelajaran yang lebih efektif, interaktif dan selaras dengan perkembangan pendidikan masa kini,” katanya.
Tambahnya, Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan SJKC Cina Sarawak akan menentukan pemasangan televisyen pintar berdasarkan jumlah murid di bilik darjah terlibat.
“Kemudahan ini akan digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi membolehkan guru memanfaatkan bahan multimedia, video interaktif serta aplikasi pendidikan untuk meningkatkan kefahaman dan minat murid terhadap mata pelajaran.
“Penggunaan teknologi moden juga membolehkan guru menyampaikan ilmu secara lebih kreatif, manakala murid berpeluang menikmati kaedah pembelajaran yang lebih menarik dan berkesan,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Jawatankuasa Penasihat Sekolah Cina Sarawak turut mempertimbangkan penggunaan sebahagian dana pada fasa kedua bagi membeli peralatan sains termasuk set robotik, pencetak 3D dan dron.
“Inisiatif ini bertujuan memupuk minat murid sekolah rendah dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), sekali gus memperkasakan kemahiran berfikir secara kritis, kreatif serta inovatif sejak usia muda.
“Saya percaya usaha memperkukuh pendidikan STEM selaras dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang mampu memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi pada masa hadapan.
“Saya berharap kemudahan yang disediakan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak sekolah demi meningkatkan kualiti pendidikan serta melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” ujarnya.
Koung Hiing turut menegaskan kerajaan Sarawak akan terus komited menyokong pembangunan pendidikan menerusi penyediaan infrastruktur, kemudahan pembelajaran dan teknologi moden supaya murid mendapat peluang pendidikan yang terbaik.
Katanya, kerjasama erat antara kerajaan, pihak sekolah, persatuan pengurusan sekolah dan masyarakat penting untuk memperkukuh kecemerlangan pendidikan serta menyediakan asas masa depan yang lebih baik kepada anak-anak Sarawak.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Sarawak, Tay Kui Choo; Pengerusi Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan SJKC Cina Bahagian Sarikei, Sia Sie Ong; Pengerusi Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan SJKC Cina Bahagian Sibu, Kapit dan Mukah, Chen Su Meng; Pengerusi Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan SJKC Cina Bahagian Sri Aman dan Betong, Wilson Chai Siew Lin; Pemanca Yii Hee Sie dan Kapitan Kiu Chiong Chui.
Oleh Earl Anek



