SEREMBAN: Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperkenalkan ciptaan Laman Prosumer Control System (LPCS) iaitu mengintegrasikan teknologi Internet of Things (IoT) dalam mengawal proses pembajaan, siraman dan meracun tanaman Rock Melon menggunakan telefon pintar.
Ketua Projek, Khairuz Zihani Kelana berkata ciptaaan inovasi itu adalah hasil projek pelajar tahun tiga Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina USIM, terdiri daripada Hairul Iskandar Hairul Nizam, 22; Nur Syuhada Amir, 22; dan Siti Sarah Nabila Nor Zawawi, 22.
“Ciptaan tersebut sesuai digunakan di ladang pertanian berskala kecil yang menggunakan kaedah penanaman fertigasi dan projek ini digunakan bagi tanaman Rock Melon diusahakan Jabatan Keselamatan di kampus ini,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Khairuz berkata, kebun Rock Melon itu menjadi perintis kepada penggunaan ciptaan LPCS yang mempunyai tiga fungsi utama iaitu Automatic Distribution System; Dosing System; dan Monitoring System.
Katanya, ketiga-tiga sistem ini dibangunkan berteraskan IoT yang membolehkan ia dikawal sepenuhnya oleh petani menggunakan telefon pintar atau tablet melalui aplikasi ‘e-Prosumer’ dengan sambungan secara modul Wi-Fi.
Sementara itu Hairul Iskandar berkata, fungsi Automatic Distribution System dapat mengawal kuantiti siraman air, baja dan racun pada tanaman secara automatik menerusi arahan diterima daripada kotak kawalan berdasarkan analisis data alat pengesan (sensor) di sekitar tanaman.
Jelasnya, melalui teknologi Dosing System pula memastikan nisbah campuran cecair baja yang tepat setelah mengambil kira bacaan kekonduksian elektrik dalam tangki campuran, nilai pH, paras air, paras hujan, suhu air dan kelembapan tanah.
Dalam pada itu, Monitoring System berfungsi mengawal paras air dalam tangki khas digunakan untuk sistem fertigasi sentiasa mencukupi.
“Kesemua sistem ini dihubungkan ke ‘e-Prosumer Control System’ iaitu kotak kawalan utama kepada pengoperasian LPCS. Inovasi ini juga boleh beroperasi secara manual sekiranya terdapat gangguan capaian WI-FI di antara kotak kawalan dan peranti,” katanya.
Beliau berkata, kos keseluruhan bagi projek itu adalah RM600 bagi penanaman antara 100 ke 200 pokok, ciptaan ini berpotensi menarik golongan muda menceburi bidang pertanian, membantu dalam mengembangkan bidang pertanian tepat (precision agriculture), meningkatkan jaminan food security. – Bernama