MENERUSI teknologi 5G, ia bukan sahaja menjadi pengubah keadaan kepada sektor pendidikan malah dapat memberi pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kepada pelajar.
KUALA LUMPUR: Rangkaian generasi kelima (5G) menjadi kunci utama kepada revolusi sektor pendidikan negara khususnya dalam memenuhi keperluan pembelajaran abad ke-21 sekali gus melahirkan generasi yang mampu mengharungi cabaran Revolusi Perindustrian ke-4 (4IR).
Tanpa pelaksanaan 5G, ia pastinya akan menyekat perkembangan sektor pendidikan digital selain menjejaskan aspek pengajaran dan pembelajaran (PdP) masa depan yang boleh membantutkan sesebuah generasi untuk berkembang seiring teknologi.
Bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam melahirkan kelompok baharu ini, pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini sudah pun bermula di beberapa kawasan sejak penghujung 2021, setahun lebih awal daripada yang diumumkan sebelum ini.
Timbalan Pengarah Teknologi Pengajaran Pusat Pengajaran dan Pembangunan Kurikulum, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Muhammad Helmi Norman berkata, menerusi teknologi 5G, ia bukan sahaja menjadi pengubah keadaan kepada sektor pendidikan malah dapat memberi pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kepada pelajar.
Beliau berkata teknologi 5G akan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik dan interaktif apabila para pelajar serta guru dan pensyarah meneroka teknologi realiti maya, realiti terimbuh, kecerdasan buatandan lain-lain.
Selain itu, menurutnya para guru dan pensyarah juga dapat menerapkan pendekatan baharu dalam sesi PdP dengan menggunakan peranti digital seperti iPad yang dihubungkan dengan 5G, dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran masa depan yang lebih menarik seterusnya meningkatkan tahap penglibatan pelajar di dalam kelas.
“Dengan teknologi yang tepat, ia akan menjadikan kita lebih moden. Kami mahu mewujudkan pengalaman yang bermakna dan kenangan yang meninggalkan kesan kepada para pelajar. Dengan 5G, ia sebenarnya membolehkan kami untuk memperkasa pelajar menjadi pencipta dalam ruang yang lebih luas bukan sahaja dalam bilik darjah.
“Dengan telefon pintar pun kita sudah boleh mencipta idea baharu. Sebagai contoh, pelajar boleh menggubah muzik secara digital dalam masa yang singkat. Namun, semua ini tidak akan terjadi kalau 5G tidak ada. 5G ini ibarat asas atau fundamental kepada semua perubahan ini,” katanya, dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini.
Dalam pada itu, Muhammad Helmi berkata, teknologi 5G juga akan menjadi pemacu dalam melahirkan ramai siswazah dan pekerja yang mempunyai kemahiran dalam teknologi digital terutama dalam era pascapandemik.
— Bernama