KABONG: Kemudahan pendidikan anak-anak di sekolah perlu diberikan perhatian sewajarnya demi memastikan mereka mendapat pembelajaran yang sempurna.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata dalam hal ini beliau komited dengan membangunkan infrastruktur dan kemudahan sekolah supaya anak-anak dapat belajar dalam suasana selesa.
“Saya komited dalam membangunkan sekolah supaya anak-anak dapat belajar dengan selesa.
“Justeru, ibu bapa diminta untuk tidak sesekali mengabaikan pembelajaran anak-anak mereka, kerana dengan pelajaran akan dapat meningkatkan taraf ekonomi keluarga dengan anak-anak yang berjaya dalam pelajaran dan bekerja dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG SK Abang Leman Kabong dekat sini baru-baru ini.
Chee Kadir berkata peruntukan terus disalurkan untuk menaik taraf prasarana sekolah-sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong sebagai sokongan kepada institusi pendidikan dalam usaha melahirkan lebih ramai insan cemerlang.
Beliau berkata usaha itu amat penting bagi memastikan prasarana dan kemudahan yang diperlukan oleh sekolah di kawasannya sentiasa diberi perhatian sewajarnya.
“Saya sedar memang ada cabarannya namun, saya memberi jaminan akan terus komited membantu tingkatkan prasarana pendidikan di seluruh DUN Kabong selagi saya masih bergelar wakil rakyat di kawasan ini,” ujarnya.
Chee Kadir berkata dalam tempoh lima tahun berkhidmat, beliau telah menyalurkan peruntukan besar untuk sekolah rendah dan menengah di DUN Kabong.
Justeru, beliau akan berusaha meningkatkan kualiti pendidikan terus diberi tumpuan bagi memastikan anak-anak di kawasan itu menimba ilmu dalam suasana selesa.
“Saya memberi tumpuan terhadap aspek pendidikan kerana sedar itulah pelaburan terbaik untuk masa depan.
“Malah, saya juga percaya ilmu yang sempurna mampu menyediakan kehidupan lebih terjamin khususnya kepada golongan muda,” ujar beliau.
Pada majlis tersebut, Chee Kadir telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM10,000 kepada PIBG SK Abang Leman Kabong.
Hadir sama Guru Besar SK Abang Leman Kabong, Ghazali Mat Daud, Yang Dipertua PIBG SK Abang Leman Kabong, Johan Rahman dan Penghulu Sani Mohamad.
Oleh ADI SAFARMAN