HAI PHONG: Taufan Super Yagi menumbangkan ribuan pokok, menghanyutkan kapal dan bot serta sudah membunuh seorang, dikesan melanda di utara Vietnam hari ini selepas ia bertiup melepasi selatan China yang mengakibatkan kematian dua individu.
Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Kebangsaan, berkata, taufan itu melanda wilayah Hai Phong dan Quang Ninh, dengan membawa angin melebihi 149 kilometer (92 batu) sejam.
Di Hai Phong, kepingan bumbung logam dan papan tanda dilihat berterbangan sewaktu taufan melanda.
Media kerajaan juga melaporkan, di pedalaman wilayah Hai Duong, seorang lelaki terbunuh di jalan raya selepas angin kencang menumbangkan pokok.
“Sudah lama saya tidak menyaksikan taufan sebesar ini.
“Ia menakutkan. Saya tinggal di dalam rumah, dan mengunci semua tingkap saya. Bagaimanapun, bunyi angin dan hujan sukar dipercayai,” kata Tran Thi Hoa, seorang wanita berusia 48 tahun dari Hai Phong kepada AFP.
Sebelum melanda tanah besar, taufan itu sudah mencabut ratusan pokok di pulau Co To, kira-kira 80 kilometer dari tanah besar Quang Ninh.
Beberapa bangunan pejabat, sekolah dan rumah di pulau itu juga kini tidak berbumbung akibat angin kencang.
Papan tanda di sekitar pulau itu dilihat berselerak manakala talian elektrik terputus dan berselirat ditiup angin.
Pihak berkuasa tempatan berkata, taufan itu adalah yang paling buruk melanda pulau itu dalam beberapa dekad.
Sebelum melanda Vietnam, ribut itu membunuh sekurang-kurangnya dua orang dan mencederakan 92 yang lain, di pulau Hainan di selatan China.
CCTV melaporkan, Taufan Yagi membawa angin lebih 230 kilometer (143 batu) sejam dan menumbangkan pokok serta menyebabkan sekitar 460,000 orang dipindahkan.
“Hainan dilanda hujan lebat dan angin kencang, menyebabkan sekurang-kurangnya dua maut dan 92 cedera,” kata Xinhua, yang memetik pihak berkuasa tempatan.
Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh turut menggesa pihak berkuasa tempatan memindahkan penduduk dari kawasan berbahaya sebelum ribut melanda malah menasihati, penduduk lain untuk berada di dalam rumah.
Di utara Hai Phong, Thai Binh dan Hanoi, pihak berkuasa tempatan melaporkan, kira-kira 20,000 orang dipindahkan dan diletakkan di tempat yang lebih selamat dan lebih tinggi.
Ramai mangsa juga berlindung di sekolah, tadika, dan bangunan awam yang lain.
Kementerian Pertahanan berkata, lebih 457,000, yang kebanyakannya kumpulan pekerja profesional turut digerakkan oleh jabatan penyelamat untuk menangani akibat taufan itu.
Kira-kira 2,000 kenderaan dan enam pesawat juga dihantar untuk menangani situasi itu. – AFP
Gambar
Sebelum melanda Quang Ninh, Taufan Super Yagi mencabut ratusan pokok di pulau Co To, kira-kira 80km dari tanah besar. – Foto AFP