
TOKYO: Taufan kuat melanda wilayah Okinawa di selatan Jepun hari ini, membawa angin kencang dan hujan lebat yang menyebabkan beberapa penduduk cedera, lapor Berita Kyodo.
Taufan Bavi membawa angin kencang berkelajuan sehingga 144 kilometer sejam merentasi Pulau Miyako, di Okinawa, menurut Agensi Meteorologi Jepun. Setakat ini, lima orang mengalami cedera ringan akibat angin kencang dan ombak besar, menurut kerajaan wilayah berkenaan.
Japan Airlines Co. dan All Nippon Airways Co. telah melaporkan pembatalan penerbangan ke dan dari Okinawa serta Wilayah Amami di Wilayah Kagoshima di barat daya Jepun.
Taufan kesembilan bagi musim ini telah bergerak meninggalkan Jepun. – Bernama