MAPUTO: Taufan Tropika Chido yang melanda utara Mozambique pada Ahad meragut 15 nyawa dan menyebabkan kira-kira 172,000 orang hilang tempat tinggal, lapor Xinhua memetik kenyataan Institut Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara (INGD).
Presidennya, Luisa Meque berkata, sebanyak 5,832 rumah musnah akibat taufan yang melanda daerah Memba, wilayah Nampula, semalam.
“Kami juga menerima laporan bahawa 69 bot dilaporkan hilang dan 102 bot musnah di Daerah Memba,” katanya.
Sementara itu, Mozambique Electricity dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kira-kira 200,000 pelanggan di wilayah Nampula dan Cabo Delgado terputus bekalan elektrik.
Taufan Tropika Chido yang membawa hujan lebat dan angin kencang melanda wilayah Cabo Delgado, Nampula, dan Niassa sebelum melemah menjadi ribut tropika sederhana, menurut Institut Meteorologi Kebangsaan (INAM).
Ahli meteorologi INAM, Acacio Tembe berkata taufan itu kini bergerak ke Malawi, namun dijangka turut menjejaskan wilayah tengah seperti Tete, Zambezia dan Manica dengan kelajuan angin 70 km/j dan tiupan sehingga 100 km/j.
Operasi tindak balas bencana peringkat kebangsaan sedang giat dilaksanakan, dengan pasukan berada di lapangan untuk menilai kerosakan dan memberikan bantuan kepada penduduk yang terjejas. – Bernama – Xinhua