



TOKYO: Taufan besar yang disifatkan amat kuat sedang bergerak ke arah barat berhampiran Kepulauan Mariana di Pasifik dan mungkin menghampiri kawasan di selatan Okinawa, Jepun pada hujung minggu ini, menurut agensi meteorologi Jepun, lapor Kyodo News.
Taufan Bavi diramal bergerak ke kawasan timur Filipina sebelum menghampiri Wilayah Okinawa sekitar Jumaat dan Sabtu. Taufan itu berkemungkinan menuju ke Laut China Timur selepas itu.
Pulau di selatan Jepun itu mungkin mengalami hujan lebat luar biasa dan kemungkinan air pasang tinggi, bergantung kepada laluan taufan berkenaan, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA) pada Isnin. Laut bergelora dijangka berlaku di perairan selatan pulau utama barat daya Jepun, Kyushu dan pulau-pulau di selatannya.
Setakat 3.00 pagi waktu tempatan Selasa, taufan kesembilan musim ini bergerak ke arah barat laut berhampiran Kepulauan Mariana pada kelajuan 30 kilometer sejam, dengan kelajuan angin mencecah 270 kilometer sejam serta tekanan atmosfera 920 hektopascal di pusatnya, menurut agensi Jepun itu.
Pusat Amaran Taufan Bersama Amerika Syarikat menyifatkan Bavi sebagai “taufan super.” – Bernama-Kyodo