
EZEIZA, Argentina: Ribuan penyokong sanggup berhujan dan berdepan cuaca sejuk pada Isnin bagi menyambut kepulangan skuad bola sepak Argentina yang tiba di tanah air tanpa bintang utama, Lionel Messi, selepas tewas kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir Piala Dunia.
Kepulangan itu bukan seperti yang diharapkan rakyat Argentina, empat tahun selepas jutaan penyokong meraikan kejayaan pasukan itu menjulang trofi Piala Dunia 2022.
Namun, suasana penuh kegembiraan tetap tercipta apabila penyokong memenuhi jalan raya sambil menari, menyanyi dan menyalakan bunga api sebagai tanda penghargaan kepada para pemain.
Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) sebelum ini memaklumkan beberapa anggota skuad tidak menaiki penerbangan berkenaan, manakala kapten legenda pasukan, Messi, tidak kelihatan turun dari pesawat dalam siaran televisyen tempatan.
Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, bersama anggota pasukan lain menerima sambutan dengan hamparan permaidani merah di luar pesawat selain diiringi pancaragam tentera.
Mereka kemudian menaiki bas sambil melambaikan tangan kepada penyokong yang memenuhi kawasan sekitar.

Walaupun gagal mempertahankan kejuaraan untuk kali kedua berturut-turut, rakyat Argentina tetap meraikan pencapaian pasukan itu.
“Rakyat Argentina tetap akan meraikannya. Terima kasih Messi atas segala tahun yang membuatkan kami gembira,” kata suri rumah, Marga Ledezma, 36.
Beliau turut berharap Messi tidak berhenti beraksi untuk Argentina, walaupun mengakui perkara itu sukar selepas pemain itu kini berusia 39 tahun.
Argentina tewas 0-1 kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir yang menerima kritikan media antarabangsa berikutan banyak kekasaran dan tindakan kurang bersemangat kesukanan daripada pasukan Albiceleste.
“Saya fikir mereka mengkritik kami kerana mereka tahu bagaimana rasanya menderita, bangkit semula, jatuh lagi dan terus berjuang,” kata Ledezma.
Sebahagian besar penyokong pula menyifatkan kemenangan sebenar Argentina ialah kejayaan menewaskan England 2-1 dalam perlawanan separuh akhir yang berlangsung dengan latar belakang pertikaian berpanjangan antara kedua-dua negara berhubung kedaulatan Kepulauan Falkland.
Sebahagian penyokong membawa bendera dengan tulisan “Falkland adalah milik Argentina.” FIFA kini menyiasat pasukan Argentina selepas pemain mengangkat sepanduk dengan frasa berkenaan selepas kemenangan ke atas England yang mencetuskan reaksi daripada London.

‘Kesedihan amat mendalam’
“Pasukan ini menyatukan kami semua dan kami perlu berterima kasih atas perkara itu. Kami akan sentiasa bersama mereka, ketika hujan mahupun panas. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Messi kerana beliau telah memberikan segalanya,” kata Leonardo Barrientos, 36, seorang pekerja bengkel tekstil.
Maria Ortiz, 28, hadir menyambut kepulangan pasukan bersama anaknya berusia dua tahun dan berkata Sepanyol “layak menang”, namun beliau tetap gembira dengan apa yang telah diberikan oleh pasukan Argentina.
Messi menerusi hantaran di Instagram pada Isnin berkata, “kesakitan ini amat mendalam dan memerlukan masa yang lama untuk luka ini sembuh.”
“Saya juga akan berpegang kepada semua kenangan indah,” tulisnya bersama gambar dirinya.

“Hari ini sukar untuk menghargai apa yang telah kami capai, tetapi skuad ini berjaya mara ke dua final Piala Dunia berturut-turut,” katanya.
Selepas kejohanan berakhir, Presiden Argentina, Javier Milei mengumumkan satu tarikh khas yang akan dipersetujui bersama pasukan itu pada masa depan akan dijadikan cuti umum bagi meraikan pencapaian mereka di Piala Dunia. Bagaimanapun, butiran lanjut belum diumumkan.
Walaupun kecewa selepas kekalahan itu, ribuan rakyat Argentina tetap menuju ke lokasi sambutan tradisi di Monumen Obelisk di Buenos Aires, tempat mereka meraikan kejayaan selama beberapa jam pada malam Ahad.
Bagaimanapun, lewat malam berlaku pergelutan kecil di kawasan monumen itu menyebabkan polis menggunakan pancutan air, gas pemedih mata dan peluru getah bagi menyuraikan orang ramai.
Seramai 15 individu ditahan, menurut sumber polis. – AFP





