SARATOK: Sebagai pemimpin masyarakat yang telah dilantik, tumpuan dan tanggungjawab terhadap masyarakat haruslah diutamakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Datuk Abdul Wahab Aziz berkata, beliau tidak mahu tidak mahu hak masyarakat dipermainkan oleh mereka yang mempunyai kepentingan peribadi.
“Saya berharap semua ketua masyarakat dan ketua kaum supaya sentiasa memantau segala aktiviti mahupun projek di kawasan anda.
“Tindakan ini amat penting agar semua aktiviti atau projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan berjalan dengan lancar, tidak bermasalah dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Integriti Siri 4 di Dewan Masyarakat Sri Krian semalam.
Program tersebut telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip.
Abdul Wahab berkata, sekiranya ketua masyarakat dan ketua kaum mengesyaki projek dilaksanakan agak lembab atau tidak mengikut spesifikasi yang telah diluluskan, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk melaporkan perkara tersebut kepada agensi berkaitan.
“Ini bagi memastikan agar semua projek yang dilaksanakan adalah mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan, sekaligus ia penyumbang agar negeri kita ini dikenali sebagai sebuah negeri yang berintergriti tinggi,” ujarnya.
Jelas Abdul Wahab, Kerajaan Sarawak amat komited untuk membentuk dan membudayakan masyarakat berintegriti yang meliputi semua peringkat seperti pegawai awam, pemimpin masyarakat, sehinggalah keseluruhan lapisan masyarakat agar budaya berintegriti dan keutuhan peribadi yang tinggi ini dapat dipupuk dan diterapkan di dalam setiap sanubari masyarakat.
“Kita perlu sedar bahawa komunikasi dan interaksi dengan rakyat menuntut kita semua sebagai pemimpin di semua sektor, baik di peringkat pelaksana mahupun pemimpin masyarakat harus berada di landasan komunikasi yang sama.
“Walaupun kita dibezakan dengan kelompok pelanggan yang berlainan, namun kita haruslah melihat dan berfikir dari perspektif yang sama. Kita harus maklum, pelanggan yang ada pada hari ini mahukan sesuatu itu dengan cepat dan dengan kos yang rendah serta telus,” tambah Abdul Wahab.
Maka itu, katanya lagi adalah baik jika kita semua mempunyai iltizam untuk meningkatkan keupayaan masing-masing menerusi kaedah berkongsi teknologi, sumber dan bertukar-tukar pengalaman.
“Saya pasti, semua dasar dan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan di sektor awam adalah bertujuan untuk memudahkan urusan rakyat.
“Untuk menjadikan setiap agensi kerajaan itu lebih dekat di hati setiap rakyat,” kata Abdul Wahab.
Oleh Adi Safarman