KUCHING: Sebanyak 98 peratus tanaman lada adalah ditanam di negeri Sarawak dan telah menunjukkan peningkatan memberangsangkan setiap tahun dengan sumbangan yang penting kepada pembangunan ekonomi luar bandar terutamanya di Sarawak, kata Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi (KPPK).
Datuk Dr.Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Malaysia merupakan negara pengeluar lada kelima terbesar dunia iaitu dengan pengeluaran sebanyak 35,539 tan metrik pada 2019.
“Vietnam merupakan pengeluar lada utama terbesar dunia pada ketika ini, diikuti Brazil, Indonesia, dan India manakala Malaysia berada pada kedudukan kelima seterusnya diikuti dengan negara Kemboja dan Sri Lanka.
“Berdasarkan data di dalam Sistem E-Pekebun MPB setakat 15 September 2020, jumlah pekebun lada di Malaysia sehingga kini telah mencecah 36,682 orang dengan keluasan tanaman seluas 7,659 hektar.” Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin pada Majlis Penyampaian Bantuan Insentif Pekebun Lada di Lembaga Lada Malaysia (MPB), Kuching semalam.
Beliau berkata, industri lada di peringkat global turut memperlihatkan trend yang positif berdasarkan harga pasaran semasa dan juga ‘supply and demand’ yang dilihat mempunyai potensi besar untuk berkembang maju selain mempunyai peluang yang luas dalam meningkatkan prestasi melalui kerjasama serantau.
“MPB sebagai sebuah agensi di bawah KPPK yang menerajui pembangunan dan perkembangan industri lada di Malaysia melalui aktiviti-aktiviti pemasaran, pengembangan (extension) dan penyelidikan harus terus mengorak langkah dalam merencana selain merangka setiap strategi serta program strategik untuk membantu golongan sasar yang memerlukan.
“Dalam usaha ini, pencapaian sektor lada sama ada di peringkat huluan mahupun hiliran hendaklah di tingkatkan lagi bagi membolehkan Malaysia terus bersaing sebagai pasaran yang penting.
“Selain daripada mengambil peluang dengan menerokai pasaran antarabangsa yang giat berkembang serta menjalinkan kerjasama strategik dengan jabatan atau agensi yang berkaitan dalam memastikan impak daripada program Kerajaan lebih menyeluruh,”ujarnya.
Walaupun begitu, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk meyakinkan orang ramai untuk menceburi aktiviti perladangan atau perusahaan komoditi, terutamanya penanaman lada kerana ramai yang beranggapan bahawa untuk memulakan tanaman ini ia memerlukan kos yang tinggi serta keuntungan yang lambat diperoleh.
“Saya menyarankan MPB untuk merangka dan menganjurkan lebih banyak program bersama pemegang taruh lada supaya golongan sasar ini diberi pendedahan mengenai potensi pasaran lada serta hasil yang dapat diperoleh melalui aktiviti tersebut.
“Pada masa sama, para pemegang taruh pula perlu terus memberikan sokongan terhadap setiap program yang dilaksanakan oleh MPB mahupun kementerian. Sebagai langkah untuk mengangkat industri komoditi negara ke satu tahap yang lebih cemerlang.”Katanya.