KUALA LUMPUR: Country Heights Holdings Bhd akan melabur kira-kira RM50 juta untuk membangunkan prasarana termasuk infrastruktur kewangan dalam The Mines Resort City bagi membolehkan urusan pembayaran mata wang kripto terpilih untuk pembelian barangan dan perkhidmatan syarikat dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang sebagai sebahagian daripada pelan transformasi digitalnya.
Pengarah Urusannya, Datuk Jared Lim (gambar) berkata, pelan transformasi digital itu akan menyaksikan sinergi antara Country Heights dan rakan kongsi teknologinya termasuk Huawei Malaysia, Touch Point International serta Coloinstar Capital dan perjanjian perkongsian teknologi tersebut dijangka dimeterai sebelum akhir tahun ini.
Menurutnya, kerjasama Country Heights dengan Huawei akan menumpukan kepada pembangunan prasarana Mines Wellness City menerusi peruntukan teknologi 5G dan WiFi 6 bagi perbandaran tersebut pada akhir tahun.
“Menjelang akhir tahun ini, (Mines Wellness City) akan menjadi kawasan pertama di Malaysia yang diliputi sepenuhnya dengan keupayaan WiFi 6 dan 5G,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di Seri Kembanganm dekat sini, semalam.
Lim berkata, syarikat itu merancang meluaskan liputan teknologi tersebut ke perbandaran lain dan menghubungkan perniagaan kesejahteraannya dengan hartanah dalam perbandarannya.
“Apabila orang membeli hartanah kami, sebagai contoh, di The Mines, kami mahu memastikan mereka disambungkan ke perbandaran itu jadi mereka membeli keseluruhan perbandaran. Itulah sebabnya mengapa kami memulakan The Mines terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata syarikat itu juga akan menjadi syarikat senaraian awam pertama memulakan Security Token Offerings (STO), satu proses apabila pelabur menukarkan wang bagi syiling atau token yang mewakili pelaburannya.
Dalam perkembangan lain, pengasas dan pengerusi eksekutif Country Heights Tan Sri Lee Kim Yew akan meletakkan jawatan menjelang 31 Dis, 2020, untuk menumpukan kepada perniagaan peribadinya termasuk Golden Touch Investment Bank yang akan menggunakan teknologi blockchain terbaharu bagi STO.
Lee, bagaimanapun, akan kekal sebagai pemegang saham dan penaung kumpulan.
“Saya telahpun menerima semua kelulusan (daripada Suruhanjaya Sekuriti). Malahan bank pelaburan saya kini sedang beroperasi. Saya akan mengambil cuti daripada Country Heights dan menyerahkan semua perniagaan kepada pasukan pengarah baharu dan saya akan menumpukan kepada mata wang kripto,” kata Lee. – Bernama