Tanam sekali, tuai hingga lima tahun, Sarawak uji padi baharu di Matu, Daro

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

DARO: Bayangkan menanam padi hanya sekali tetapi dapat dituai berulang kali sehingga lima tahun.

Itulah teknologi pertanian yang bakal diuji kerajaan Sarawak menerusi projek perintis penanaman padi perennial di Matu dan Daro.

Perennial bermaksud tumbuhan yang hidup dan menghasilkan hasil selama beberapa tahun tanpa perlu ditanam semula setiap musim.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika sidang media selepas lawatan kerja ke Tapak Skim Penempatan Kampung (SPK) Lemang Pek, Kampung Tengah dan Kampung Pangtray Fasa 1, Daro, hari ini. Foto UKAS.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata projek itu dilaksanakan bagi meningkatkan keterjaminan makanan negeri menerusi penggunaan teknologi pertanian moden hasil kerjasama dengan sebuah universiti di Yunnan, China.

Menurut beliau, kajian saintifik mendapati tanah di Daro dan Matu sesuai untuk penanaman varieti padi berkenaan.

“Saya mahu mencuba di Daro kerana saintis berpendapat tanah di Matu dan Daro sesuai untuk padi itu.

“Padi ini hanya perlu ditanam sekali tetapi boleh mengeluarkan hasil sehingga lima tahun,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Tapak Skim Penempatan Kampung (SPK) Lemang Pek, Kampung Tengah dan Kampung Pangtray Fasa 1, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata benih padi berkenaan dijangka diperoleh selepas musim menuai di Kuala Baram sekitar Ogos depan sebelum projek percubaan dimulakan di Daro dan Matu.

Beliau berkata teknologi tersebut mampu mengurangkan kos penanaman kerana pesawah tidak perlu menanam semula selepas setiap musim menuai.

Menurut beliau, varieti beras yang dihasilkan juga mempunyai kandungan kanji yang lebih rendah berbanding beras biasa, sekali gus lebih sesuai untuk mereka yang mengutamakan pemakanan sihat.

Katanya, kerajaan akan terus meneroka teknologi pertanian baharu bagi meningkatkan pengeluaran makanan negeri, di samping mewujudkan peluang ekonomi kepada penduduk luar bandar melalui sektor pertanian berteknologi tinggi.

Beliau berkata pembangunan sektor itu merupakan antara strategi kerajaan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah, sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan di Sarawak.