
PADANG, Indonesia: Pasukan pencari menemui sembilan mayat selepas kejadian tanah runtuh melanda kawasan berhampiran lombong emas haram di Pulau Sumatera, Indonesia, menurut polis hari ini.
Sebahagian tebing berhampiran lombong itu runtuh semalam di Daerah Sijunjung, menimbus sekumpulan pelombong yang bekerja hanya tiga meter (10 kaki) dari lokasi kejadian, kata jurucakap polis Sumatera Barat, Susmelawati Rosya.
“Lokasi ini sememangnya merupakan lombong emas haram. Sembilan orang maut, manakala tiga yang lain berjaya menyelamatkan diri ketika tebing runtuh,” katanya.
Polis bersama-sama sukarelawan melancarkan operasi mencari dan menyelamat dengan menggunakan jentera berat bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus.
Lombong tidak berlesen merupakan perkara lazim di seluruh kepulauan Asia Tenggara yang kaya dengan sumber mineral itu, dengan kawasan terbiar sering menjadi tumpuan penduduk tempatan yang mencari sisa bijih emas tanpa peralatan keselamatan yang sewajarnya.
Kemalangan lombong kerap berlaku di Indonesia akibat tanah runtuh, khususnya semasa musim monsun.
“Kami akan menjalankan siasatan. Sudah tentu lombong itu akan ditutup; garisan polis telah pun dipasang,” kata Susmelawati, sambil menambah bahawa semua mangsa telah dikenal pasti.
Kumpulan alam sekitar tempatan WALHI merekodkan sekurang-kurangnya 48 kematian di Sumatera Barat sahaja sejak 2012 akibat insiden di lombong emas haram.
“Kematian sembilan orang dalam kejadian tanah runtuh di lombong emas haram di Kabupaten Sijunjung sekali lagi mendedahkan kegagalan negara melindungi rakyat daripada aktiviti perlombongan haram yang memusnahkan alam sekitar dan meragut nyawa,” kata kumpulan itu pada Jumaat.
Tahun lalu, sekurang-kurangnya 18 terbunuh apabila batuan runtuh di sebuah kuari batu kapur di bandar Cirebon, wilayah Jawa Barat.
Pada 2024, sekurang-kurangnya 23 terbunuh dalam kejadian tanah runtuh berhampiran lombong emas haram di pulau Sulawesi, Indonesia. – AFP