SIBU:Proses vaksinasi fasa kedua akan diadakan di Pusat Agape Sibu untuk menampung lebih ramai orang berkeperluan khas mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Setiausaha Persatuan Kanak-kanak Berkeperluan Khas Sibu, Dr. Toh Teck Hock memberitahu, masih ramai orang berkeperluan khas yang mendaftar di pusat tersebut tidak mendapat slot untuk suntikan vaksin kali ini.
“Kami masih menyiapkannya dan mudah-mudahan seramai 800 orang berkeperluan khas akan dimasukkan dalam fasa kedua itu nanti. Kami masih mempunyai beberapa orang berkeperluan khas termasuk mereka yang mengalami kecederaan saraf tunjang tetapi tidak dapat menerima suntikan vaksin.
“Organisasi lain tidak berjaya mengumpulkan mereka dalam masa yang tepat, jadi mereka akan dimasukkan ke dalam fasa kedua nanti,” jelasnya kepada pemberita hari ini.
Dr . Toh yang juga pakar pediatrik berkata, terdapat kira-kira 7,000 orang yang berdaftar di Klinik Peringatan Law King Howe Pusat Agape, dengan kira-kira 700 orang daripadanya berusia 18 tahun ke atas.
Beliau menegaskan, penting untuk menyokong orang berkeperluan khas terutama mereka yang mempunyai autisme atau kecacatan intelektual dengan mewujudkan pusat vaksinasi yang mesra untuk mereka.
Katanya, kerana ketidakupayaan mereka, persekitaran yang ramah adalah penting untuk membolehkan mereka tenang sehingga proses vaksinasi dapat berjalan dengan lancar.
“Ketika kami merancang pusat vaksinasi, kami ingin mempertimbangkannya, kami perlu memastikan tempat itu tidak terlalu bising, tidak terlalu sesak. Jadi, memilih pusat vaksinasi tidak semudah yang difikirkan.
“Persekitaran yang ramah ini penting bagi mereka kerana ia membantu mereka dan untuk mengelakkan mereka daripada mendapat tekanan ‘stress’ ketika menerima vaksin,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Methodist Care Center (MCC), Soon Kong Tiong berkata, terdapat seramai 160 orang dewasa dan ibu bapa mereka akan menerima vaksinasi masing-masing.
Presiden Persatuan Autistik Sibu (SAA), David Ngu pula memberitahu, tidak ada pelajar atau kanak-kanak yang akan diberi vaksinasi pada masa ini kerana persatuan itu hanya melakukan program intervensi awal.
Untuk Sukan Olimpik Khas, kira-kira seramai 50 atlet dan ahli keluarga mereka mendaftar untuk vaksinasi.
Ngu menceritakan pengalamannya di mana terdapat beberapa orang berkeperluan khas yang enggan diberi vaksinasi kerana ketakutan. Dia mengatakan bahawa guru harus datang untuk menenangkan mereka agar diberi vaksin.
“Jadi, itulah sebabnya, persekitaran yang tidak asing lagi, orang yang sudah biasa mesti disediakan untuk orang berkeperluan khas ini sehingga vaksin dapat diberikan kepada mereka,” kata Ngu.
Pusat Agape Sibu sedang menjalani proses vaksinasi dari 16 hingga 18 Jun. Seramai 750 orang berkeperluan khas dan ibu bapa mereka akan diberi vaksin dalam tiga hari ini.
Oleh AKUN GIMAN