KUALA LUMPUR: Tambatan ringgit tidak sesuai untuk dilaksanakan ketika negara sedang mengalami krisis penularan Covid-19 dan isu yang dihadapi adalah berkaitan dengan kesihatan dan ekonomi.
Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr. Madeline Berma berkata, krisis Covid-19 yang dialami bukan sahaja menjejask ekonomi di Malaysia malah ekonomi seluruh dunia juga turut terkesan dengan keadaan semasa.
“Kita tidak boleh menyamakan krisis kewangan yang berlaku pada tahun 1997 dan 1998 dengan krisis sekarang dan mengambil langkah menambat ringgit kerana spekulasi matawang tidak berlaku ketika ini, jadi ia tidak harus untuk dilakukan.
“Pada masa itu, berlakunya pengaliran keluar pelaburan asing secara berterusan tetapi kerajaan ketika itu mengambil langkah mengenakan sekatan secara selektif namun apa yang berlaku sekarang ini adalah berbeza, pelaburan asing tidak keluar tetapi ekonomi di seluruh dunia terhenti,” katanya program Ruang Bicara bertajuk “Pelan Pemulihan Menjana Ekonomi Negara” terbitan Bernama TV di Wisma Bernama, semalam.
Turut hadir pada program itu ialah Bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Datuk Dr. Zakariah Abdul Rashid.
Zakariah turut bersetuju dengan pendapat Madeline dan berkata tambatan ringgit tidak harus dilakukan sekarang kerana keadaan semasa mata wang dolar AS juga tidak diketahui.
“Krisis ekonomi yang kita hadapi pada masa lalu adalah krisis kewangan tetapi apa yang kita hadapi sekarang ini ialah ekonomi ‘real sector’, ia memberi kesan yang lebih banyak sehingga menyebabkan gangguan pengeluaran ekoran daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Jadi masalah yang berlaku ketika ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, jauh berbeza dan pada skala yang sangat besar sekali berbanding krisis kewangan sebelum ini. Kalau dahulu kita namakannya kemelesetan ekonomi namun sekarang orang ramai sudah mula bertanya adakah kita akan mengalami great depression (zaman meleset) yang berlaku pada sekitar tahun 1920-an dan 1930-an dulu?,” katanya.
Masalah ekonomi yang di hadapi dunia dan negara ketika ini jauh lebih besar jika dibandingkan dengan krisis kewangan global pada 2008, katanya.
Zakariah juga tidak menyangkal zaman meleset akan berulang sekiranya ketidaktentuan ekonomi global berlanjutan sehingga tiga tahun.
Buat masa ini, pemain ekonomi terbesar dunia iaitu China, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) sudah pun merasai kesan ekonomi, katanya.
“Kita menyaksikan perang perdagangan antara AS dan China menyebabkan sekatan barangan yang mana AS tidak mahu mengimport barangan daripada China, dan Malaysia.
“Malaysia merupakan rakan dagangan China akan turut terjejas,” katanya.
“Apabila ini berlaku, pendapatan kerajaan juga akan turut terjejas dan menyebabkan kekangan kepada kerajaan dalam menyalurkan bantuan kepada orang ramai walaupun ia mempunyai rancangan yang komprehensif,” katanya lagi.
Manakala diperingkat global, Zakariah berkata, ekonomi besar dunia kini kembali membuat sekatan dalam perdagangan.
“Pada masa lalu, kita selalu bercakap mengenai globalisasi terutama sekali pada masa perang dunia kedua, tetapi sekarang kita berbalik kepada ‘protectionism’, maka apabila ekonomi paling besar mengamalkan protectionism, negara yang kecil termasuklah Malaysia akan terkapai-kapai,” katanya. – Bernama