
PETRA JAYA: Sarawak hanya meminta Dewan Rakyat untuk mengesahkan tambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebelum boleh diguna pakai, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata usul tambahan kerusi itu telah diluluskan hampir sebulat suara oleh DUN Sarawak sejak tahun lalu tetapi Kerajaan Persekutuan gagal untuk membawa perkara itu ke Dewan Rakyat.
“Kita hanya minta Parlimen memberikan pengesahan. Kita bukan minta Parlimen menentukan sama ada hendak tambah atau kurangkan kerusi kerana itu adalah hak kerajaan negeri yang telah diputuskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak.
“Kita kecewa terhadap kegagalan Kerajaan Persekutuan membawa usul penambahan 17 kerusi baharu DUN Sarawak ke Parlimen bagi mendapatkan pengesahan, walaupun usul berkenaan telah diluluskan hampir sebulat suara oleh DUN Sarawak sejak tahun lalu.
“Kerajaan negeri sentiasa mematuhi prosedur yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan hanya memerlukan pengesahan Parlimen terhadap keputusan yang telah dibuat oleh DUN Sarawak,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, DUN merupakan badan perundangan tertinggi di peringkat negeri dan keputusan yang dibuat sewajarnya dihormati, termasuk oleh Ahli Parlimen.
“Sejak usul itu diluluskan, Parlimen telah bersidang sebanyak tiga kali, namun sehingga kini tiada usaha dilakukan untuk membawanya ke Parlimen bagi mendapatkan pengesahan,” katanya.
Abdul Karim turut membidas tindakan mengaitkan penambahan kerusi DUN dengan isu pertambahan kerusi Parlimen, sambil menegaskan kedua-duanya merupakan perkara berbeza di bawah bidang kuasa yang berlainan.
“Kita tidak pernah meminta pertambahan kerusi Parlimen. Kerusi Parlimen Sarawak kekal 31. Apa yang kita mohon hanyalah pengesahan terhadap penambahan 17 kerusi DUN yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak,” katanya.
Beliau menjelaskan, selepas mendapat pengesahan Parlimen, proses seterusnya akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), termasuk menentukan lokasi dan persempadanan kerusi baharu.
“Kerajaan Sarawak tidak menentukan di mana kerusi-kerusi itu akan diwujudkan. Itu adalah tanggungjawab SPR mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Karim mengakui kerajaan negeri kecewa sekiranya kelewatan itu menyebabkan 17 kerusi baharu berkenaan tidak dapat digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang perlu diadakan sebelum penghujung tahun ini.
Beliau berkata, jika usul itu terus tertangguh, kerusi baharu berkenaan hanya berkemungkinan dapat digunakan pada pilihan raya negeri berikutnya dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Saya melihat perkara ini sebagai permainan politik di peringkat Kerajaan Persekutuan. Jangan bermain politik dalam soal yang hanya memerlukan pengesahan terhadap keputusan yang telah dibuat oleh DUN Sarawak,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof dilaporkan berkata cadangan persempadanan semula melibatkan 17 kerusi baharu DUN Sarawak dijangka tidak sempat dibentangkan di Dewan Rakyat tahun ini kerana masih perlu melalui beberapa proses di bawah SPR, termasuk pameran awam dan ruang bantahan, sebelum boleh dibawa ke Parlimen.
Pada Julai tahun lalu, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang bagi menambah 17 kerusi baharu, sekali gus meningkatkan jumlah kerusi DUN daripada 82 kepada 99, tertakluk kepada proses persempadanan semula oleh SPR.
Oleh Shikin Mahmud