TERANCAM….Tentera Israel cuba mengekang rakyat Palestin masuk ke Masjid Al-Aqsa untuk beribadat di akhir Ramadan ini. •Foto AFP
KUALA LUMPUR: Arab Saudi menggesa masyarakat antarabangsa untuk bertindak dengan lebih berkesan bagi memastikan tentera Israel bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pencerobohan dan kekerasan yang dilakukan di Masjid Al-Aqsa.
Wakil Tetap Arab Saudi ke Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Dr Saleh Hamad Al-Suhaibani berkata tindakan provokasi itu satu ancaman yang boleh mencetuskan konflik di rantau itu.
Tegasnya, rakyat Palestin kian menderita akibat serangan itu dan hak mereka untuk menikmati kehidupan yang selamat, aman dan damai masih terus dinafikan.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaannya pada sesi mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif OIC peringkat Perwakilan Tetap untuk membincangkan pencerobohan Israel terhadap Masjid Al-Aqsa, di Sekretariat Agung OIC, Isnin lepas.
Mesyuarat itu dipengerusikan Arab Saudi selaku Pengerusi Sidang Kemuncak Islam ke-14.
“Arab Saudi turut mengulangi sokongan berterusannya terhadap perjuangan rakyat Palestin dan perlunya untuk menyatukan dan mempergiat usaha di peringkat antarabangsa bagi menamatkan konflik yang berlarutan ini untuk kestabilan serantau,” kata Al -Suhaibani.
Pada 15 April, sekurang-kurangnya 153 rakyat Palestin cedera ketika bertempur dengan tentera Israel yang menyerbu pekarangan Masjid Al-Aqsa selepas solat subuh.
Insiden itu mendapat tentangan penduduk Palestin yang turut menyeru negara-negara Islam mempertahankan kesucian masjid itu.
Al-Suhaibani berkata Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud semasa menjadi Presiden Sidang Kemuncak Arab ke-29 di Dhahran, beliau berkata “isu Palestin adalah menjadi keutamaan kita dan rakyatnya sentiasa di hati masyarakat Arab dan penganut agama Islam.”
Dalam pada itu, Malaysia turut menyertai Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) peringkat Perwakilan Tetap di Jeddah, Arab Saudi bagi membincangkan pencerobohan Israel terhadap Masjid Al-Aqsa.
Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), mesyuarat itu dipengerusikan Arab Saudi selaku Pengerusi Sidang Kemuncak Islam OIC dan turut dihadiri Setiausaha Agung OIC serta negara anggota lain.
Pada mesyuarat itu OIC menerima pakai pernyataan akhir, antara lain mengulangi kepentingan perjuangan Palestin dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk bertindak dengan lebih berkesan bagi menangani konflik itu.
“Pernyataan itu juga menggesa negara anggota OIC dan masyarakat Islam bersama-sama bekerja di forum antarabangsa untuk memberi perlindungan kepada rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.
Anggota OIC juga sebulat suara menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap nasib rakyat Palestin, serta mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan Israel di Masjid Al-Aqsa terutamanya ketika Ramadan.
Pada 15 April lepas, sekurang-kurangnya 153 rakyat Palestin cedera ketika bertempur dengan tentera Israel yang menyerbu perkarangan Masjid Al-Aqsa selepas solat subuh.
Insiden itu mendapat tentangan keras daripada penduduk Palestin sambil menyeru negara-negara Islam mempertahankan kesucian masjid itu.-Bernama