MINGGU lepas saya telah membicarakan bagaimana tentera Australia berjaya membentuk operasi bersama dengan penduduk tempatan untuk melawan Jepun. Kejayaan mengumpul dan menyerang Jepun oleh Operasi Semut ini amat menakjubkan.
Tentera Jepun dilihat gagal mengambil kesempatan dalam perancangan mereka untuk menawan hati penduduk Sarawak yang akhirnya membawa musibah kepada mereka. Hal ini dapat dilihat dengan kejayaan Operasi Semut.
Kejayaan Operasi Semut
Antara kejayaan yang diperolehi oleh operasi ini termasuklah menawan Sibu. Leftenan Noda terkejut dengan kekuatan operasi ini apabila mereka mampu mengalahkan tentera beliau yang lengkap dengan senjata. Tambahan lagi, tentera Operasi Semut ini juga tidaklah sempurna dalam kelengkapan persenjataan mereka.
Walaupun mereka dibekalkan dengan senjata oleh tentera Australia, tetapi kebanyakan senjata digunakan adalah senjata tradisional sahaja untuk berdepan dengan tentera Jepun.
Manakala di Kapit pula, Operasi Semut 3 ini mendapat sokongan daripada Temenggung Koh, Penghulu Jugah dan Tedong. Pemimpin Iban ini bersetuju membantu tentera Australia untuk membebaskan tahanan di Kapit. Pada malam 26 Jun 1945, usaha menawan dan membebaskan tahanan di Kapit dimulakan dengan mengumpul kekuatan tentera yang berpusat di Nanga Baleh. Operasi mereka berjaya menawan Kapit dan membebaskan tahanan yang dipenjarakan oleh tentera Jepun.
Kejayaan ini memberi semangat kepada penduduk di Bahagian Ketiga untuk terus menyokong Operasi Semut. Penduduk di Bahagian Ketiga yang semakin yakin akan usaha tentera Australia melawan Jepun telah memberi sokongan lebih padu. Malahan, mereka semakin berani untuk memberi pertolongan kepada tentera Australia. Mereka juga menyebarkan berita tentang kemaraan pihak tentera Berikat di Sarawak.
Kemaraan Tentera Berikat
Tentera Berikat ialah tentera yang melawan tentera Paksi yang terdiri daripada Jerman, Jepun dan Itali. Manakala tentera Berikat pula terdiri daripada Amerika Syarikat, British, Soviet Union, China dan beberapa buah negara Eropah yang lain. Tentera Australia juga sebahagian daripada tentera Berikat ini.
Jelas ketika itu memang tentera Berikat telah menunjukkan kejayaan besar melawan tentera Paksi. Hal ini jelas berlaku di Eropah apabila satu persatu wilayah taklukan Jerman dan Itali diambil semula oleh tentera Berikat. Keadaan ini bermula seawal tahun 1943 dengan jatuhnya pemimpin fasis Itali, iaitu Benito Mussolini. Sebelum itu, Jerman menemui kekalahan di Stanligrad di tangan tentera Soviet Union. Paris pula dibebaskan oleh tentera Berikat pada 1944.
Akhirnya Jerman menyerah kalah pada 7 May 1945 tanpa syarat. Kekalahan Jerman ini tidak membawa kepada kekalahan Jepun kerana perang di Pasifik masih berterusan. Perang di Pasifik menyaksikan kekalahan Jepun dalam Perang Midway pada tahun 1942. Peristiwa hitam dalam sejarah Jepun semasa perang ini adalah bandar Hiroshima dan Nagasaki digugurkan bom atom pada awal Ogos 1945. Jepun semakin tersepit apabila tentera Soviet Union menyertai tentera Berikat untuk menyerang tentera Jepun.
Akibatnya, Maharaja Jepun, Hirohito mengumumkan bahawa Jepun menyerah kalah menerusi corong radio di Jepun pada 15 Ogos 1945. Proses penyerahan Jepun secara rasmi hanya berlaku pada 2 September 1945 aas Kapal Perang Missouri.
Kekalahan Jepun di Tokyo itu tidak bersifat secara automatik menyebabkan penyerahan kalah tentera Jepun di wilayah yang mereka jajah. Di Sarawak misalnya, tentera Jepun masih berkuasa walaupun Maharaja Jepun menyatakan mereka telah menyerah kalah.
Serangan Tentera Berikat
Operasi Semut memudahkan tentera Berikat untuk menundukkan tentera Jepun di Sarawak. Selain membantu serangan ke atas tentera Jepun, mereka juga memberi maklumat berguna kepada tentera Berikat untuk menyerang kedudukan tentera Jepun di Sarawak.
Ketika itu juga, tentera Jepun di Sarawak dalam keadaan yang paling lemah setelah kekalahan mereka oleh tentera Berikat di beberapa tempat di Pasifik.
Serangan pertama di bandar Kuching adalah pada 25 Mac 1945. Serangan tentera Berikat menerusi udara itu menyasarkan landasan terbang Jepun di Kuching.
Kejayaan terbesar tentera Berikat di utara Borneo ini adalah melumpuhkan kekuatan Jepun di Labuan. Serangan ke atas Labuan dibuat oleh tentera Australia yang bertolak dari Morotai pada 4 Jun 1945. Serangan ke atas Labuan dibuat pada 10 Jun 1945. Tentera Jepun tidak memandang mudah serangan ini dan cuba mempertahankan pulau tersebut yang mengakibatkan ramai tentera Berikat dan Jepun terkorban.
Sementara itu, di Sarawak, satu-persatu bandar dan pekan di Sarawak berjaya ditawan semula oleh pihak Berikat pimpinan tentera Australia. Pada 16 Jun 1945, Marudi telah berjaya ditawan oleh tentera Berikat. Kemudiannya beberapa bandar lain seperti Limbang pula jatuh pada 18 Jun 1945. Lutong pula mula goyah dalam genggaman tentera Jepun dan berjaya ditawan pada 20 Jun 1946. Tiga hari selepas itu, Miri pula berjaya ditawan oleh tentera Berikat.
Tentera Jepun menggunakan taktik memusnahkan lapangan minyak di Miri sebelum berundur ke Sungai Bakong. Serangan dan kejayaan tentera Berikat ini lebih tertumpu di utara Sarawak, manakala di selatan Sarawak pula masih lagi dikuasai oleh tentera Jepun.
Kuching ,selepas serangan udara pertama, mengalami kekerapan serangan udara daripada tentera Berikat. Walaupun serangan udara cuba menyasarkan kepentinagan tentera Jepun, tetapi penduduk tempatan masih tidak selamat. Hal ini kerana beberapa rumah kediaman penduduk tempatan juga terkena bom yang dijatuhkan sehingga membawa kepada korban nyawa.
Kekalahan
Sementara itu, berita pengumuman Maharaja Jepun tentang kekalahan mereka mula disebar menerusi risalah-risalah yang dibuang dari udara oleh Tentera Udara Australia. Tentera Jepun di Sabah dan Miri mula menyerah kalah pada 9 September 1945.
Pada 27 Ogos 1945 di Kuching, Tentera Udara Australia juga menguggurkan surat kepada Komandan tentera Jepun, Major-General Hiryoe Yamamura untuk berhubung dengan wakil Australia di Muara Sungai Sarawak. Komunikasi ini membolehkan tentera Berikat menguggurkan bekalan pakaian, ubat-ubatan dan makanan kepada tahanan perang di Kem Batu Lintang.
Manakala tentera Australia yang diwakili oleh Major-Jeneral A.G. Wilson mendarat di Sungai Sarawak pada 5 September 1945 untuk berbincang dengan Yamamura tentang proses menyerah kalah tentera Jepun di Sarawak. Selepas itu, rundingan itu disertai oleh Bridagier Thomas Charles Eastick. Upacara rasmi penyerahan Jepun bermula pada petang 11 September 1945, atas Kapal Perang HMAS Kapunda yang berlabuh di Pending. Yamamura telah menandatangani surat menyerah kalah tersebut. Selepas itu diikuti pula dengan penyerahan pedang samurai Yamamura kepada Eastick sebagai simbol menyerah kalah.
Namun demikian, tidak semua tentera Jepun mahu mengakuri perisytiharaan menyerah kalah tentera Jepun. Sekumpulan tentera Jepun di utara Sarawak pimpinan Leftenan Fujino enggan mengaku kalah. Mereka meneruskan usaha untuk mengekalkan kuasa di Sarawak. Usaha mereka digagalkan oleh tentera gerila pimpinan Tom Harrisson. Mereka menyerah kalah pada 28 Oktober 1945. Kejayaan menundukkan tentera pimpinan Leftenan Fujino menamatkan operasi ketenteraan di Sarawak.
Dr. Suffian Mansor ialah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.