KUCHING: Kata-kata Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 2010 itu kini kedengaran seperti sebuah amanat yang merentasi zaman.
Ketika ucapan itu disampaikan, Sarawak masih mempunyai perjalanan panjang untuk membina ekonomi yang kukuh.
Hari ini, selepas pemergian Taib pada 21 Februari 2024, sebahagian daripada impian tersebut sudah memperlihatkan hasil apabila Sarawak diiktiraf Bank Dunia sebagai negeri berpendapatan tinggi berdasarkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita pada 2023.
Malah, berdasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita 2025, Sarawak kini berada di tangga kelima tertinggi di Malaysia, selepas Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Pulau Pinang.
Namun, perjalanan itu bukan dibina oleh seorang pemimpin sahaja.
Ia bermula sejak Sarawak menyertai pembentukan Malaysia pada 1963, ketika Ketua Menteri pertama, Stephen Kalong Ningkan, berdepan tugas membina asas pentadbiran sebuah negeri baharu.
Kepimpinan Datuk Penghulu Tawi Sli kemudiannya meneruskan kestabilan, sebelum Tun Abdul Rahman Ya’kub memperkukuh pentadbiran serta meletakkan asas kepada pengurusan sumber dan pembangunan ekonomi negeri.
Apabila Taib mengambil alih kepimpinan pada 1981, Sarawak memasuki fasa pembangunan yang lebih tersusun dan berjangka panjang.
Antara legasi pentingnya ialah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang dilancarkan di Bintulu pada 11 Februari 2008 oleh Perdana Menteri ke lima ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Cetusan idea Taib itu membawa pendekatan baharu dengan memanfaatkan tenaga hidro untuk menarik industri intensif tenaga, pelaburan berimpak tinggi serta pembangunan kawasan yang lebih luas.
SCORE menjadi antara landasan penting kepada transformasi Sarawak daripada ekonomi berasaskan sumber kepada ekonomi perindustrian.
Selepas Taib berundur pada 2014, Pehin Sri Adenan Satem meneruskan kepimpinan dengan penekanan yang kuat terhadap kepentingan, identiti dan hak Sarawak, termasuk perjuangan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Selepas Adenan meninggal dunia pada 2017, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengambil alih kepimpinan negeri.
Pada 2018, landskap politik Sarawak turut berubah apabila PBB, SUPP, PRS dan PDP keluar daripada Barisan Nasional (BN) Sarawak dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS), dengan Abang Johari sebagai pengerusi.
Perubahan itu membawa Sarawak ke satu lagi fasa mengekalkan kestabilan pentadbiran sambil mengukuhkan agenda hak negeri dan pembangunan ekonomi.
Di bawah kepimpinan Abang Johari, asas yang dibina melalui SCORE terus dikembangkan menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dengan tumpuan kepada ekonomi digital, tenaga hijau, hidrogen, teknologi dan industri bernilai tinggi.
Jika Taib melihat Sarawak sebagai negeri perindustrian dan tenaga, generasi kepimpinan selepasnya membawa visi itu ke era ekonomi digital dan hijau.
Namun, kejayaan Sarawak hari ini wajar dilihat sebagai kesinambungan, bukan kejayaan satu era atau seorang pemimpin.
Daripada Ningkan, Tawi Sli dan Rahman Ya’kub yang membina asas, Taib yang memperkenalkan perancangan ekonomi berskala besar, Adenan yang memperkukuh suara Sarawak melalui MA63, hinggalah Abang Johari yang memacu transformasi baharu.
Setiap era meninggalkan asas untuk dibangunkan oleh generasi seterusnya. Namun, pengiktirafan Bank Dunia terhadap Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi bukan bermakna perjuangan telah selesai.
Pengiktirafan itu berdasarkan ukuran Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita dan tidak bermaksud setiap rakyat telah menikmati taraf hidup atau manfaat ekonomi yang sama.
Justeru, amanat Taib mengenai ‘fair share of prosperity’ kemakmuran yang dinikmati secara saksama kekal relevan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi benar-benar dirasai seluruh rakyat Sarawak.
Kini, amanah itu perlu dipikul oleh kepimpinan muda yang bakal meneruskan perjalanan Sarawak agar memastikan kestabilan politik diterjemahkan kepada pembangunan yang inklusif, peluang yang lebih luas dan kemakmuran yang benar-benar dirasai rakyat tanpa mengira kaum atau lokasi.
Tetapi sama ada generasi selepasnya mampu mengambil apa yang telah dibina, memperbaikinya, dan menyerahkan Sarawak yang lebih baik kepada generasi berikutnya dan mungkin, di situlah kata-kata Taib pada 2010 menemukan maknanya hari ini.
“Insya-Allah, dengan ada team yang akan naik selepas saya” katanya.
Taib mungkin sudah tiada untuk melihat sejauh mana Sarawak telah berubah. Namun, visi yang pernah beliau ungkapkan masih hidup dalam sebuah negeri yang terus bergerak ke hadapan.
Daripada negeri yang pernah berdepan kemiskinan dan kekurangan infrastruktur, Sarawak kini berdiri sebagai negeri berpendapatan tinggi.
Rom tidak dibina dalam sehari, begitu juga Sarawak. Apa yang dinikmati hari ini lahir daripada puluhan tahun usaha, perancangan dan kesinambungan kepimpinan.
Cabaran selepas ini bukan sekadar menjadikan Sarawak lebih kaya, tetapi memastikan kemakmuran itu benar-benar memberi makna dan manfaat kepada seluruh rakyat.
Itulah legasi dan amanah yang kini perlu dipikul oleh generasi kepimpinan seterusnya.
Oleh Afiq Sallehi





